BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Amir Shah berkenan serah sumbangan Aidilfitri

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 25 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM110,000 kepada anak yatim di daerah Gombak.

Keberangkatan tiba baginda di Masjid Selayang Baru, Batu Caves disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Nur Mohd Razali Abdullah, disusuli bacaan selawat ke atas Nabi.

Baginda yang tiba pada jam 12 tengah hari berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 1,100 anak yatim bernilai RM100 setiap seorang, yang diperuntukkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui YIDE.

Pada majlis sama, baginda turut meluangkan masa mendengar tazkirah ihya Ramadan dari Pencetus Ummah Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz, yang juga Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor.

Tengku Amir Shah juga berkesempatan menunaikan solat Zohor secara berjemaah.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh; Timbalan Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Dr Anhar Opir; Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Dato’ Dr Juhari Ahmad.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata, sehingga kini YIDE sudah menyalurkan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di lima daerah iaitu Klang, Petaling, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Gombak dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM519,900.

Katanya, ia membabitkan Klang dengan jumlah RM144,900; Petaling (RM128,600); Sabak Bernam (RM54,400), Kuala Selangor (RM81,000) dan Gombak (RM110,000).

Beliau berkata, YIDE juga amat berbesar hati jika terdapat mana-mana pihak yang sudi menginfaqkan sumbangan bagi membantu anak yatim, pusat rawatan hemodialisis dan rakyat negeri ini yang ditimpa musibah.

“YIDE juga sudah memperkenalkan sistem kupon infaq bagi membolehkan orang ramai menyumbang sebanyak RM2.

“YIDE mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi ejen atau amil bagi mengedarkan kupon infaq ini dan juga mendapat 1/4 sebagai upah daripada hasil kutipan dibuat.

“Saya berharap orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melakui kupon infaq ini selepas menunaikan kewajipan zakat fitrah terlebih dahulu selain menggunakan aplikasi Jom Pay,” katanya.


Pengarang :