SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan buat kuih kapit

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan membuat demonstrasi kuih kapit di Ah Ma House.

Baginda bersama rombongan Istana tiba di kedai barangan antik itu sekitar jam 10 pagi seusai bersarapan di Hotel A+ Sekinchan.

Baginda meluangkan masa hampir 10 minit untuk membuat kuih tradisional itu yang sememangnya cukup terkenal di Sekinchan kerana masih menggunakan dapur arang.

Seusai membuat kuih kapit, baginda meluangkan masa setengah jam melawat ke sekitar Ah Ma House bagi melihat keunikan kedai terbabit yang dipenuhi pelbagai barangan antik.

Baginda turut mencemar duli bergambar bersama pengunjung yang hadir ke kedai terbabit.

 

Difahamkan, Ah Ma House atau Rumah Nenek adalah salah satu tarikan pelancong di Sekinchan.

Ia sebenarnya kedai roti yang menjual kuih kapit dan makanan tradisional tempatan, biskut, pencuci mulut dan barangan vintaj yang cukup terkenal pada zaman dahulu.

Selain itu, Ah Ma House turut menjadi daya penarik sesiapa sahaja berkunjung ke sini kerana suasanyanya seakan mengimbau kenangan zaman dahulu.

Lawatan Mesra DYMM Permaisuri ke Sekinchan selama hampir satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawati beberapa tempat menarik di sini.

Kedatangan baginda disambut dan ditemani Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

 

 


Pengarang :