SELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan lawat kilang Khind

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli mengadakan lawatan ke kilang barangan elektrik Khind, di sini, petang ini.

Baginda tiba bersama rombongan istana di kilang membekal elektrik terbesar di Malaysia itu pada jam 3 petang seusai merasai keenakan kuih bahulu tersohor di Sekinchan iaitu Wisma Masri.

Mengiringi ketibaan baginda adalah Ahli Dewan Negeri Sekinchan merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dan kakitangan Khind.

Sebelum memasuki kilang yang mula dibina sejak 1961 itu, baginda berkesempatan merakam foto kenangan berhadapan replika kipas ‘gergasi’ di perkarangan kilang berkenaan.

Baginda diberi taklimat berkenaan latar belakang syarikat Khind sambil berpeluang menyaksikan dan merasai pengalaman menggunakan ketuhar ‘multi air fryer’ termasuk barangan elektrik Khind lain yang dilengkapi ciri-ciri teknologi terkini.

Dalam kunjungan terbabit, baginda juga diberi penerangan ringkas berkaitan kepentingan mengendalikan barangan elektrik dengan cara yang betul dan selamat.

Lebih menggamit perhatian, sebelum berangkat ke lawatan seterusnya, baginda berkenan membeli ketuhar bagi menyokong produk elektrik jenama berkenaan.

Dijangka pada sebelah malam, baginda akan menikmati santapan makanan laut yang amat terkenal di Sekinchan iaitu Restoran Secret Garden 1960.

Sebelum berangkat pulang ke istana, baginda dan rombongan mencemar duli menaiki bot untuk ke Jeti Sky Mirror bagi melihat keindahan dan meneroka keajaiban Blue Tears.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

 


Pengarang :