NASIONAL

Terlalu awal untuk ketahui impak kewangan isu bil caj berlebihan

KUALA LUMPUR, 31 Mei : Terlalu awal untuk mengetahui sama ada isu bil caj berlebihan akan memberi sebarang impak kewangan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata TNB hanya boleh membuat penilaian selepas mengetahui jumlah bayaran balik yang akan dibuat.

“Bagaimanapun, jumlah aduan, yang sebanyak 14,469 kes setakat ini, agak kecil berbanding jumlah pelanggan TNB sebanyak sembilan juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Amir Hamzah, bagaimanapun, menegaskan bahawa sebarang aduan daripada pelanggan masih merupakan aduan.

“Kami masih perlu pergi dan memeriksa, dan cuba menyelesaikan kes tersebut,” katanya.

Daripada 14,469 aduan yang diterima dari April hingga Mei, sebanyak 9,028 kes diterima pada Mei manakala baki 5,621 diterima pada April, katanya.

Amir Hamzah berkata setakat ini, sebanyak 11,331 kes telah diselesaikan manakala baki 3,318 masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak dapat memberikan tempoh masa untuk menyelesaikan siasatan atau membuat bayaran balik, berikutan siasatan berbeza mengikut kes dari segi kerumitan.

Sementara itu, ditanya sama ada TNB menerima apa-apa surat daripada kerajaan mengenai kemungkinan denda yang mungkin dihadapi oleh syarikat itu, Amir Hamzah berkata syarikat telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dan pegawai Suruhanjaya Tenaga, dan akan memberi kerjasama penuh kepada mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pada masa ini, TNB hanya akan memberi tumpuan kepada menyelesaikan aduan berbanding perkara lain.

Awal hari ini, Yeo dilaporkan berkata TNB masih akan dikenakan denda walaupun selepas ia menyelesaikan masalah bil elektrik. -BERNAMA

 


Pengarang :