SELANGOR

Terminal 17 bagai ‘mini airport’, jadi tumpuan musim perayaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MEI: Berbaki lima hari sebelum sambutan Aidilfitri, suasana Terminal 17 yang baharu sebulan beroperasi sudah sesak dengan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tinjauan SelangorKini mendapati, hentian bas berkenaan juga kembali menjadi tumpuan warga Shah Alam dan sekitarnya selepas empat tahun ditutup bagi kerja pengubahsuaian.

Sehingga tengah malam tadi, keadaan di terminal itu masih terkawal walaupun orang awam khususnya penuntut universiti yang dilihat sebagai majoriti pengguna, memenuhi ruang kaunter pembelian tiket dan menunggu masa perjalanan.

Pekerja swasta, Muhammad Azin Mohd Kamal, 23, berkata ini kali pertama dia menggunakan perkhidmatan bas ekspres di terminal berkenaan untuk pulang ke desa tercinta, sejak ia dibuka awal Mei lalu.

Katanya, banyak pembaharuan yang boleh dianggap setaraf dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dilaksanakan di terminal berkenaan.

“Ia dikira sebagai ‘mini airport’ untuk bas kerana kelengkapan dan fasiliti diberikan di sini sangat baik, malahan sistemnya juga boleh dikatakan agak teratur walaupun masih dalam tempoh percubaan.

“Sebelum ini sudah dua kali saya menggunakan Terminal 17, tetapi bukan dalam suasana raya, manakala untuk penggunaan kali ketiga ini saya berasa sangat gembira kerana memudahkan saya naik bas dan perjalanan akan jadi lebih baik,” katanya yang akan pulang ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Muhammad Azin berkata, terdapat beberapa aspek perlu dipertimbangkan pihak pengurusan terminal seperti kaedah penjualan tiket secara dalam talian yang dirasakan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna kerana memerlukan bayaran caj RM1 untuk setiap cetakan.

“Mereka (pengurusan) tidak sewajarnya mengenakan caj kepada pengguna yang sudah menggunakan kaedah itu selama bertahun-tahun, sedangkan ia hanya sekeping kertas.

“Penambahbaikan daripada segi itu harus dikuatkuasakan dalam masa segera sebelum orang lain membuat aduan,” katanya.

Senada dengannya, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Fatin Nabila Rahmat, 23, menyifatkan Terminal 17 memiliki fasiliti lebih selesa berbanding hentian bas sementara sebelum ini.

“Di sini senang sebab ada tempat lebih selesa untuk tunggu bas, kalau hujan sekurang-kurangnya boleh berteduh dan tunggu lama sekali tak kisah sangat.

“Tandas pun mencukupi berbanding tempat sebelum ini yang hanya ada satu sahaja,” katanya yang akan pulang ke Ipoh, Perak.

 


Pengarang :