SUKANKINI

Terpantas di Tangkak, landasan Azroy buru hatrik CP150

SHAH ALAM, 3 MEI: Azroy Hakeem Anuar mempamer aksi bertenaga dalam misi memburu kemenangan hatrik apabila mencatat masa terpantas pusingan kelayakan CP150 pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Lumba Tangkak, Johor, hari ini.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu mencatat masa terbaik 44.174s pada pusingan ke-12 untuk mengatasi Md Iqbal Amri Malek (AHM Motorsports Yamaha Racing) yang sebelum itu mendahului pelumba lain dengan catatan terbaik 44.242s.

Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) mencatat masa ketiga terpantas dengan 44.384s manakala Md Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) dan rakan sepasukan Akid, Md Haziq Md Fairues melengkapkan lima pelumba terpantas sesi kelayakan masing-masing dengan catatan terbaik 44.480s dan 44.524s.

Azroy berkata, saingan di litar Tangkak agak sukar memandangkan pelumba lain mula menunjukkan aksi sebenar mereka.

“Keadaan litar juga sedikit sebanyak mengganggu rentak pelumba untuk memberi yang terbaik kerana terdapat kawasan yang tidak rata terutama di bahagian selekoh.

“Sya tidak mahu memikirkan mengenai kemenangan ketiga berturut-turut kerana ia menjadi tekanan buat saya,” kata juara pusingan pertama dan kedua itu.

Katanya, apa yang penting dirinya perlu memberi yang terbaik dan kekal konsisten di setiap pusingan kerana sedikit kesilapan akan merugikannya.

Saingan kelayakan CP115 dikuasai Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan catatan terbaik 46.167s sambil juara pusingan kedua, Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) mengekalkan prestasi terbaik apabila muncul pelumba kedua terpantas dengan masa 46.176s.

Rakan sepasukan Adib, Md Fareez Afeez Abd Rahman muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 46.303s.

Sementara itu, juara pusingan pembukaan, Md Zaki A Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) bakal memulakan perlumbaan akhir kategori WIRA dari petak pertama setelah mengungguli sesi kelayakan Shootout dengan masa 46.486s diikuti Md Adib M Asri (ELF Koyoko Honda KC Racing Team) kedua, 46.621s dan Md Adam Haikal Jahar (PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing) ketiga, 46.794s.

KEPUTUSAN PUSINGAN 3 – LITAR LUMBA TANGKAT, JOHOR

CP150 – KELAYAKAN
1. Azroy Hakeem Anuar (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing 44.174s
2. Md Iqbal Amri Abd Malek (SGR) AHM Motorsports Yamaha Racing 44.242s
3. Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 44.384s
4. Md Aiman Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 44.480s
5. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 44.524s

CP115 – KELAYAKAN
1. Md Adib Rosley (SGR) Motul Yamaha YY Pang Racing 46.167s
2. Md Syafiq Rosli (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 46.176
3. Md Fareez Afeez Abd Rahman (JHR) Motul Yamaha YY Pang Racing 46.303s
4. Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX SAG Team 46.370s
5. Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing4 6.624s

WIRA – SHOOTOUT
1. Md Zaki A Zamri (SGR) MOS William #LLRKS CYT Racing 46.486s
2. Md Adib M Asri (JHR) ELF Koyoko Honda KC Racing Team 46.621s
3. Md Adam Haikal Jahar (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing 46.794s
4. Md Izham Hanafi Amran (TRG) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing 46.900s
5. Md Izzat M Raduan (NSN) ONEXOX SAG Team 46.926s

 


Pengarang :