NASIONAL

Tiada aduan kekurangan bekalan setakat ini

GEORGE TOWN, 25 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setakat ini belum menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui kerjasama beliau dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi terutamanya item-item utama seperti ayam, daging dan telur.

“Setakat hari ini kita dah masuk 21 Ramadan, tinggal sembilan hari lagi sebelum hari raya. Pusat aduan KPDNHEP belum menerima apa-apa aduan berkait dengan kekurangan bekalan.

“Kalau ini (kekurangan bekalan) berlaku kesannya adalah aduan tentang peningkatan harga barang,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bubur lambuk dan kurma kepada orang awam di Pasaraya Giant Bayan Baru, dekat sini hari ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak itu telah menyediakan 10 periuk bubur lambuk untuk diedarkan kepada kira-kira 300 orang Islam dan bukan Islam yang berkunjung ke pasaraya itu.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kementerian telah melaksanakan Skim Harga Maksimum sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 21 Mei lepas dan ia dijangka berlangsung selama sebulan sehingga 19 Jun ini.

Menurutnya, ini adalah kali pertama pelaksanaan skim harga kawalan pada musim perayaan itu berlangsung dalam tempoh yang lama berbanding tahun lepas yang dijalankan selama 15 hari.

Beliau berkata selain itu, pihaknya turut menambah jumlah barangan dalam senarai harga kawalan kepada 27 item tahun ini termasuk kacang, kacang panjang dan ikan berbanding 21 item tahun lepas

“Apabila kita masukkan barangan dalam skim harga kawalan ini, kepatuhan peniaga sangat tinggi sedangkan tujuannya adalah untuk melindungi hak pengguna.

“Contohnya, pada perayaan Tahun Baru Cina lepas, apabila pasukan penguatkuasa sampai ke premis jualan kita cuma temui dua kes aduan sahaja berkaitan pelanggaran harga syiling sepanjang tempoh kawalan lebih kurang 12 hari.

“Hampir 70,000 premis yang mereka periksa dalam tempoh tersebut…kalau begitu banyak premis tetapi cuma dua kes pelanggaran harga syiling maknanya ianya sangat berkesan.

“Jadi, kita ambil keputusan menjelang Hari Raya ini, kebetulan ia bertindih dengan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai maka kita lanjutkan. Kita harap ini akan melegakan pengguna,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :