NASIONAL

Tiada kes jangkitan “monkeypox” dikesan di Johor

JOHOR BAHRU, 21 MEI: Tiada kes jangkitan monkeypox dikesan di negeri ini setakat hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil langkah berjaga-jaga susulan satu kes “monkeypox” yang dikesan di Singapura, melibatkan warga Nigeria berusia 38 tahun.

JKNJ turut mengambil beberapa tindakan bagi mencegah jangkitan monkeypox termasuk meningkatkan aktiviti pemantauan di semua pintu masuk Johor, terutamanya mereka yang mempunyai sejarah melawat Nigeria.

“Maklumat berkaitan penyakit ”monkeypox ” turut diedarkan kepada semua anggota kesihatan termasuk di barisan hadapan untuk mengenal pasti awal kes disyaki sekiranya ada,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Arahan turut diberikan untuk melaporkan segera ke bilik gerakan “Crisis Preparedness Response Centre” (CPRC) jika terdapat kes yang disyaki penyakit “monkeypox”, kata beliau.

Sementara itu, mereka yang berkunjung ke negara endemik (Afrika tengah dan barat) monkeypox, dinasihatkan mengelakkan kontak dengan haiwan liar dan tidak memakan daging haiwan liar.

Selain itu, mereka juga dianjurkan sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk menjaga kebersihan tangan dengan menggunakan sabun dan air selain menggunakan sanitizer berasaskan alkohol apabila air dan sabun tiada.

Pada 9 Mei lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam satu kenyataan mengesahkan satu kes impot “monkeypox” dikesan melibatkan pesakit warga Nigeria berusia 38 tahun yang menghadiri satu bengkel di negara tersebut pada 28 April.

Pesakit yang mengalami simptom demam, sakit otot dan ruam disahkan positif jangkitan “monkeypox” dan dia telah dipindahkan ke wad isolasi di Pusat Penyakit Berjangkit (NCID).

Punca jangkitan virus “monkeypox” itu dikenalpasti melalui daging haiwan liar yang dimakan semasa menghadiri majlis perkahwinan.

-BERNAMA


Pengarang :