Tiada lagi sesi pendengaran awam projek pelan pembangunan KL | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Tiada lagi sesi pendengaran awam projek pelan pembangunan KL

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Sebarang projek yang diluluskan di bawah Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 dan 2040 tidak lagi akan mengguna pakai Kaedah 5 Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982, yang membolehkan penyertaan awam dalam perancangan dan kawalan pembangunan oleh kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, berikutan itu, tiada lagi sesi pendengaran awam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju yang akan membentangkan Laporan Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) kepada penduduk selepas sesuatu projek pembangunan diluluskan.

“Kaedah 5 adalah mekanisme bila tiada pelan yang digazetkan kerana pada masa itu pembangunan dilakukan tidak ikut apa-apa garis panduan…sebab itu ada Kaedah 5. Masa itu cadangan pembangunan boleh dipersoalkan tapi bila pelan dah diwartakan sekarang tidak perlu lagi nak pendengaran awam.


“Melainkan jika sesuatu projek itu bercanggah dengan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 dan 2040, contohnya plot ratio yang ditetapkan hendak dilebihi oleh pemaju barulah pendengaran awam itu perlu dibuat untuk menjelaskan kepada penduduk sebab percanggahan dan pelanggaran itu dengan menyertakan bukti-buktinya,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan bersama 11 Anggota Parlimen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Katanya, sebarang projek pembangunan di sekitar ibu kota pada masa akan datang perlu menyediakan TIA dan SIA terlebih dahulu sebelum diluluskan oleh Datuk Bandar berdasarkan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur.

“Banyak pendengaran awam yang terpaksa kami kendalikan sekarang kerana diluluskan sebelum pelan pembangunan (Kuala Lumpur) digazetkan dan TIA serta SIA hanya disediakan selepas projek diluluskan, itupun atas pandangan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata Julai ini, DBKL akan melantik perunding bagi merangka Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang dijangka digazetkan pada tahun hadapan. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next