SELANGOR

Tiada pemberian straw secara automatik bermula 1 Julai

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 15 MEI: Bermula 1 Julai ini, pengguna tidak lagi diberikan straw secara automatik bagi setiap minuman yang dipesan dan perlu meminta sendiri di kaunter jika memerlukannya, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, tindakan berkenaan dibuat sebagai usaha menangani penggunaan ‘single-use plastic’ dan ia bakal dimulakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK).

“Mulai 1 Julai, kita tetap akan melaksanakan program untuk tidak memberi straw plastik secara automatik kepada pelanggan. Kalau pelanggna mahu, kena minta di kauter.

“Kita juga menghadkan restoran supaya tidak mempamerkan straw plastik di kaunter, mereka kena simpan. Atas permintaan, baru bagi sebagai satu usaha mengurangkan penggunaan plastik.

“Tahun ini juga kita menerima arahan daripada (Kerajaan) Pusat dan akan dimulakan di SUK terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurkan perasmian program Bazar Ramadan Mampan dan Kempen Amalan Hijau dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Greenwood.

Katanya, pelbagai reaksi positif diterima daripada pengusaha dan pengguna sejak dimulakan 1 April lalu, ketika diumumkan pada Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Tahun Baru Cina.

Hasil pengumuman itu, banyak syarikat mula menghasilkan plastik dan straw biodegradasi ekoran permintaan tinggi yang diterima, sekali gus membolehkan pengurangan jumlah sisa serta menjimatkan kawasan tapak pelupusan sampah.


Pengarang :