KUALA LUMPUR, 13 Mei — Pengawai Penyiasat Inspektor Massuhaella Mohd Idris menyusun barang kes pada sidang media berkenaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya hari ini. Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan disyaki keldai dadah serta merampas dadah bernilai RM255,000 semalam. — fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
SELANGOR

Tiga individu leka lekat paket dadah ditahan

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Dua wanita dan seorang lelaki disyaki keldai dadah ditahan di sebuah hotel di Lembah Klang, semalam ketika leka melekatkan paket dadah di badan untuk diseludup ke Korea Selatan.

Sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menjalankan operasi pukul 12.01 tengah malam dan menahan kesemua suspek berusia 21 hingga 31 tahun.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata polis merampas 5.1 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM255,000 yang dilekatkan pada badan dua wanita itu.

Siasatan mendapati dua wanita itu akan berlepas ke Busan, Korea Selatan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama dengan membawa dadah menggunakan taktik penyeludupan ‘body packed’.

“Dua wanita ini melekatkan dadah menggunakan salotape di sekeliling pinggang serta memasukkannya ke dalam pakaian dalam.

“Suspek lelaki pula disyaki berperanan membantu dua wanita itu. Pemeriksaan urin mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.

Kamarulzaman berkata kedua-dua suspek wanita itu dibayar sebanyak RM16,000 seorang sekiranya berjaya membawa dadah itu ke luar negara.

“Sebelum berlepas, mereka diberi wang pendahuluan sebanyak RM1,000 dan tiket penerbangan serta hotel manakala baki upah itu akan dibayar selepas kerja selesai.

“Siasatan juga mendapati seorang wanita berusia 31 tahun yang ditahan itu berpengalaman melakukan kegiatan seperti ini,” katanya sambil memberitahu sindiket itu merekrut keldai dadah melalui kenalan atau di laman sosial.

Beliau berkata bekalan dadah yang dirampas itu dianggar bernilai US$2.04 juta (RM8.5 juta) di Korea Selatan bagi kegunaan 26,000 penagih.

“Permintaan dadah yang tinggi di negara luar menyebabkan harganya mahal, itu salah satu sebab sindiket ini sanggup ambil risiko bawa keluar dadah ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA


Pengarang :