NASIONAL

Tiga tekong ditahan, 54 pati gagal diseludup masuk

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Tiga tekong laut warga Indonesia ditahan bersama 54 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba diseludup ke negara ini, di kawasan tepi Pantai Tanjung Sepat, Selangor awal pagi semalam.

Menerusi Op Nyah 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira 6 pagi itu, kesemua mereka ditahan bersama sebuah bot pancung dan dua unit enjin bot 200 HP.

Komander Briged Tengah PGA SAC Abdul Ghani Mohamad Ji berkata pasukan anggota cawangan risik Batalion 4 PGA Semenyih, Pos Belangkan dan Pos Tanjung Sepat berjaya membuat tangkapan itu setelah menghampiri sebuah bot pancung yang sedang menurunkan sejumlah Pati.

“Ketua pasukan bersama anggota lain yang menyamar sebagai tekong darat kemudian memperkenalkan diri sebagai polis lalu menahan ketiga-tiga tekong laut itu daripada bot pancung berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya menahan seramai 25 Pati yang telah diturunkan dahulu oleh bot pancung lain di kawasan berkenaan, sebelum bot pancung dinaiki tiga tekong laut itu menurunkan Pati yang lain.

“Pati yang ditahan terdiri daripada tujuh wanita Myanmar, tiga lelaki Myanmar dan 44 lelaki Bangladesh. Daripada kesemua tangkapan (57 termasuk tiga tekong), 44 mempunyai pasport tetapi tiada dokumen perjalanan yang sah, manakala bakinya tidak memiliki sebarang pasport, dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua mereka memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya tangkapan itu telah melumpuhkan kegiatan penyeludupan Pati ke negara ini oleh kumpulan dikenali sebagai ‘Kumpulan Arul’ dari Indonesia.

Abdul Ghani berkata, siasatan awal mendapati nilai bayaran bagi seorang Pati untuk memasuki negara ini adalah sebanyak RM14,000.

Katanya pihaknya, turut merampas dua telefon bimbit dan bot pancung yang dirampas dianggarkan bernilai RM220,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007/2010, katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :