BERITA UTAMASELANGOR

Tindakan pengecut simbah cat merah, lempar molotov cocktail

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 18 MEI: Dua kejadian ancaman dan ugutan terhadap Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Norhayati Ahmad disifatkan pengecut serta tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku dan akan terus menyokong serta mempertahankan penjawat awam baik di peringkat Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan.

“Kehadiran kami memberikan sokongan moral dan solidariti kepada kejadian yang berlaku sebanyak dua kali.

“Kita sama sekali beranggapan bahawa ini satu tindakan pengecut dan tidak bertanggungjawab, berkemungkinan dilakukan untuk menggugat keselamatan atau mengurangkan tindakan tegas diambil MPS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meluangkan masa lebih setengah jam menziarahi keluarga Norhayati, 40 dan suami, Muhamad Norsam Md Arof, 42, di Taman Muhibbah, Rawang.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia itu juga memaklumkan Parlimen Gombak sedang meneliti beberapa isu yang perlu diselesaikan dengan kerjasama MPS dan pasukannya tetap bersemangat serta bersedia untuk bertindak.

Pada 28 April lalu, kawasan anjung kediaman Norhayati dilempar cat merah sehingga mengakibatkan kerosakan dua buah kenderaan yang diparkir di dalam rumah.

Perkara itu disedari suaminya sekitar 7 pagi selepas terhidu bau cat yang kuat, manakala Norhayati ketika itu berada di Shanghai, China atas urusan kerja.

Tidak terhenti di situ, ancaman kedua dilakukan pada awal pagi 13 Mei lalu apabila molotov cocktail dilemparkan ke atas bumbung rumahnya yang mengakibatkan kebakaran kecil.

Dentuman kuat yang turut didengari jiran menyebabkan mereka keluar untuk melihat keadaan serta membantu memadamkan kebakaran.

Kesan daripada kejadian itu menyebabkan enam buah kereta rosak terkena percikan cat dan laporan polis turut dibuat.

Difahamkan, kes terbabit masih disiasat polis dan pihak MPS turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kawasan rumah serta kejiranan Norhayati.

 


Pengarang :