NASIONAL

Tindakan tegas terhadap pengamal perubatan warga asing

IPOH, 25 MEI: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pengamal perubatan warga asing yang tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan mengusahakan klinik atau farmasi secara haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, di bawah Akta Jualan Dadah 1952, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Walaupun mendaftar (di negara asal), mereka sepatutnya mempunyai sijil pengamalan tahunan bagi membolehkan mereka menjalankan khidmat perubatan (di Malaysia).

“Jika mereka tidak mendaftar, tiada sijil pengamalan tahunan dan memberi perkhidmatan perubatan, mereka boleh didenda atas kesalahan itu.

“Selain itu, apabila mereka memberi ubat yang bukan dikeluarkan doktor, bukan oleh farmasi, kita boleh ambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Dr Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sukan tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gunung Rapat, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris (The Star) berkenaan beberapa klinik dan farmasi yang diusahakan warga Bangladesh secara haram di Jalan Silang, Kuala Lumpur.

Laporan itu menyebut bahawa premis itu diawasi ‘doktor’ dari Bangladesh dan menjual ubat-ubatan yang diseludup dari negara Asia Selatan.

-BERNAMA


Pengarang :