NASIONAL

Tingkat kawalan sempadan, cegah kemasukan mercun

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Kawalan di sempadan negara dipertingkat bagi mengelak kemasukan mercun dan bunga api secara haram menjelang Aidilfitri ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tugas pemantauan serta risikan dilipat gandakan supaya aktiviti penyeludupan dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

Penyeludup akan mengambil peluang membawa mercun dan bunga api terutama pada bulan Ramadan berikutan permintaan yang tinggi.

“Sekarang kita (polis) beri tumpuan untuk kekang penyeludupan mercun dan bunga api kerana barangan ini popular pada Hari Raya… jadi permintaannya tinggi.

“Polis tidak mahu barang terlarang termasuk mercun masuk ke dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Jabatan KDNKA di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya mengesan terdapat kumpulan kecil yang membawa masuk mercun ke dalam negara untuk dijual.

“Mereka ini mungkin individu yang membuat kerja ‘separuh masa’ jual mercun pada bulan Ramadan. Sekarang fokus kita (polis) adalah untuk mencari sindiket penyeludupan yang berskala besar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :