KUANTAN, 27 Mei — Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (empat, kanan) menyampaikan bungkusan Hari Raya kepada anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri 2019 pada Majlis Berbuka Puasa bersama anggota TLDM di atas Kapal DiRaja (KD) Pahang di Perairan Laut China Selatan berdekatan Kuantan hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima TLDM Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Wilayah Laut Satu Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tingkat pemantauan perairan negara menjelang Aidilfitri

KUANTAN, 28 MEI: Kerajaan akan meningkatkan pemantauan perairan negara ketika musim sambutan Aidilfitri bagi memastikan pendatang asing tanpa izin tidak mengambil peluang ketika musim perayaan untuk pulang ke kampung halaman mengikut saluran yang tidak sah.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pemantauan itu dilaksanakan kerana penggunaan laluan perairan negara tanpa kebenaran yang sah membawa banyak ancaman keselamatan kepada negara.

“Penguatkuasaan di perairan negara akan ditingkatkan ketika musim perayaan secara bersepadu oleh semua agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen.

“Kita amat mengambil berat isu pendatang asing ini malah baru-baru ini Kabinet mengadakan mesyuarat khas mengenai isu imigran,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada warga TLDM di atas kapal KD Pahang di perairan Kuantan, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Markas Wilayah Laut 1 Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis.

Bagi TLDM, Mohamad berkata, pasukan itu akan menggerakkan kapal KD Perdana dan KD Pendekar untuk tugasan memantau perairan negara. – BERNAMA


Pengarang :