RENCANA

Titik berat aspek keselamatan jalan raya, elak tragedi Syawal

OLEH NORHAYATI UMOR

Apabila tibanya musim perayaan pastinya orang ramai mengambil keputusan pulang ke kampung halaman atau melancong.

Justeru, baik tragedi jalan raya atau kebakaran mahupun kecurian di rumah, semua pihak wajar memainkan peranan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Sebagai contoh kemalangan jalan raya, pastinya jalan utama di seluruh negara akan dibanjiri kenderaan yang bertali arus untuk pulang ke kampung.

Dengan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan secara kolektif mengeluarkan data kemalangan sebanyak 22,411 ketika ops sikap dan selamat yang dilaksanakan Hari Raya dari 8 Jun hingga 22 Jun 2018.

Jumlah itu merekodkan kemalangan maut 235 kes, kematian 248 kes dan 1.10 peratus kematian dengan purata kematian 16.5 sehari.

Analisis terhadap Operasi Selamat 13 (Ops Selamat) itu menunjukkan faktor terbabas sendiri menjadi punca utama kemalangan maut, dengan catatan sebanyak 142 kes.

Faktor lain yang menjadi penyumbang kemalangan maut adalah melawan aliran trafik, cuba memotong kenderaan, cuai ketika keluar atau masuk simpang, mengekori terlalu rapat dan membuat pusingan U.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Rosli Isa berkata, pihaknya memfokuskan tiga perkara utama dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya memababitkan semua kenderaan di negara ini.

Tiga perkara itu termasuk menguatkuasakan penggunaan tempat duduk kanak-kanak dalam kereta, menggalakkan penggunaan tali pinggang keselamatan kerusi belakang dan pelaksanaan tali pinggang dalam bas ekspres.

“Perkara ini menjadi fokus utama JKJR pada 2019 sebelum dikuatkuasakan tahun hadapan. Kita akan gunakan pendekatan sama seperti larangan merokok di premis makanan untuk memastikan pelaksanaannya berterusan,” katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang akan meninggalkan rumah masing-masing perlu mengambil beberapa langkah supaya kediaman mereka bebas daripada kejadian tidak diingini.

Pada 2016, sebanyak 2,400 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara sepanjang musim perayaan.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan kes kemalangan paling tinggi iaitu 25 kes diikuti Kedah (19), Pahang (17) dan Johor (13).

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat membenarkan 20 peratus daripada lebih 14,000 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bercuti pada Aidilfitri ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya akan mengadakan rondaan di lokasi tertentu selain mempergiatkan lebih banyak kempen berhubung keselamatan terutama sekali berkenaan kebakaran sempena musim perayaan ini.

“Pegawai kanan yang pulang bercuti di kawasan kampung halaman masing-masing juga perlu singgah ke balai bomba terdekat bagi memberikan motivasi buat anggota yang bertugas selain menyemarakkan suasana perayaan,” katanya.

Tidak ketinggalan, pasukan polis turut mempertingkatkan rondaan pencegahan jenayah membabitkan kereta peronda polis dan unit rondaan bermotosikal di kawasan perumahan.

Pegawai dan anggota terbabit bertindak sebagai elemen utama untuk memantau rumah dan premis yang ditinggalkan ketika cuti perayaan.


Pengarang :