SELANGOR

TM Selangor serah zakat untuk pembangunan pusat tahfiz

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 28 MEI: Telekom Malaysia (TM) Selangor menyerahkan kutipan zakat kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Pusat Tahfiz Al Habbah sempena Ramadan, kali ini.

Naib Presidennya, Dato’ Zuraidah Mohd Said berkata, sumbangan zakat dari kakitangan TM itu dapat membantu golongan memerlukan di negeri ini.

Katanya, bantuan itu juga bertujuan membolehkan pusat tahfiz melakukan pembangunan kemudahan infrastruktur mahupun penganjuran program pemantapan diri pelajar.

“Sepanjang Ramadan kali ini, kita buat serahan zakat di tiga lokasi membabitkan Lembah Jaya, Batu Caves dan akan datang di Kampung Pandan.

“Semua yang menerima sumbangan ini adalah antaranya anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan tidak ketinggalan pelajar tahfiz yang memerlukan bantuan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika Program Serahan Zakat TM kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di sini.

Pada majlis sama, TM Selangor turut menyerahkan sumbangan duit raya dan cendemata kepada 82 pelajar tahfiz.

Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Pusat Tahfiz Al Habbah itu menempatkan anak-anak yatim, miskin, mualaf dan anak-anak terbuang.

Mula ditubuhkan pada 2011, kini pusat berkenaan berjaya menghantar empat pelajarnya ke Al Azhar, Mesir dan juga Indonesia bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang al-Quran.


Pengarang :