SUKANKINI

Tourism, Media Selangor ungguli Piala Futsal Persahabatan GLC Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 MEI: Tourism Selangor menjuarai Piala Futsal Persahabatan GLC Selangor apabila menewaskan Invest Selangor 2-0 di pentas akhir, semalam.

Berlangsung di Frenzy Sports Arena, Seksyen 16, jaringan Akram Mohd Ali pada babak pertama dan disusuli gol daripada Radzi Ismail di babak kedua sudah memadai untuk memastikan kejuaraan milik mereka.

Sebelum itu di peringkat separuh akhir, Tourism Selangor menewaskan KDEB Subang menerusi sepakan penalti 2-1 selepas terikat tanpa jaringan.

Manakala Invest Selangor mara ke perlawanan akhir apabila mencatatkan kemenangan selesa 2-0 mengatasi satu lagi wakil KDEB Klang.

Bagi kategori wanita, pasukan Media Selangor (P) terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan pasukan KDEB (P) 1-0 di pentas akhir.

Arni Sharliza Mohamad pada babak kedua sudah cukup untuk menghadiahkan kejuaraan kepada pasukan.

Tempat ketiga pula disandang Invest Selangor (P).

Piala Futsal Persahabatan GLC Selangor dianjurkan buat julung kalinya bagi mengeratkan hubungan antara anak syarikat Kerajaan Negeri yang bernaung di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Eddie Ahmad Khodzali dan Ketua Pengarang Media Selangor, Fathi Aris Omar.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :