NASIONAL

TPM: Akta khusus lindungi warga emas dalam kajian

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Akta khusus bagi melindungi kebajikan dan hak asasi warga emas sedang dalam kajian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata pakar dari Universiti Malaya (UM) dipilih menjalankan kajian bagi menggubal rang undang-Undang (RUU) berkenaan.

“Kita juga nak adakan beberapa perbincangan sebelum membentangkan RUU ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jerayawara Boost e-donation, di sini, hari ini.

Penggubalan akta itu telah dipersetujui ketika mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara yang dipengerusikan Dr Wan Azizah pada Disember lepas.

Akta tersebut juga antara lain bagi mewujudkan sistem sokongan yang diperlukan warga emas.

Sementara itu, ditanya sama ada kementeriannya akan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap bekas ketua eksekutif syarikat telekomunikasi yang didakwa menceroboh dan mengancam bekas isterinya dan keluarga, Dr Wan Azizah berkata kes tersebut berada di bawah bidang kuasa polis.

“Saya difahamkan kes tersebut NFA (No Further Action), NFA dikeluarkan oleh pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) bukan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah menerima input daripada siasatan polis dan pemeriksaan doktor,” katanya.

Akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan bekas isteri lelaki terbabit telah membuat sekurang-kurangnya 15 laporan polis sejak 2015, selepas pasangan itu bercerai dengan mendakwa bekas suaminya turut mencabul kehormatan anak mereka.

– BERNAMA


Pengarang :