KUALA LUMPUR, 19 Mei — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (depan, tengah) beramah mesra bersama Orang Kelainan Upaya yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa bersama OKU DUN Pandan Indah di Dewan Majlis Pembandaran Ampang Jaya malam ini. Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri N21 Pandan Indah Izham Hashim (tiga, kanan) dan Pengerusi Pertubuhan Kebajiakan Ehsan Ummah Selangor Mariam Abdul Rashid (tiga, kiri). –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

TPM: Sekatan perjalanan ke luar negara tidak wajar

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak wajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut dan cadangan sekatan itu perlu dikaji semula.

“Kita tidak ada apa-apa keputusan. Kita pun rasa bila masa kita berbincang (mengenai sekatan itu)? PTPTN telah memberikan ruang dan peluang untuk anak-anak melanjutkan pengajian mereka namun ada juga segelintir tidak bayar balik.

“Kalau nak ‘rolling’ itu memanglah ada masalah tapi kalau nak buat sekatan-sekatan ini, tak wajar. Kita mesti kaji balik. Itu yang kita tentang dulu, kita protes dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama orang kelainan upaya (OKU) anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah Selangor, di sini, hari ini.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini dilaporkan berkata cadangan supaya PTPTN menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukakan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus dijalankan. – BERNAMA


Pengarang :