NASIONAL

TPM seru umat Islam manfaat kemuliaan Ramadan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru seluruh umat Islam di Malaysia memanfaatkan kemuliaan Ramadan dengan sebaiknya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Ramadan adalah bulan yang membawa seribu satu rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT.

“Sudah pasti pada kesempatan ini kita semua tidak mahu melepaskan peluang menambah Ibadah, menggapai Rahmah, meningkatkan Maghfirah demi merealisasikan impian Jannah.

“Oleh itu, saya berseru untuk diri saya sendiri dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memanfaatkan peluang ini sedaya upaya mungkin supaya Ramadan yang sarat dengan kurniaan Allah SWT ini tidak berlalu pergi begitu sahaja, sedangkan hubungan kita denganNya masih di takuk lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Ramadan 1440H, hari ini.

Dr Wan Azizah juga menyeru umat Islam supaya mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW yang cergas dan sangat arif dalam menguruskan agenda hidup baginda sepanjang Ramadan.

Katanya, pengurusan hidup yang seimbang antara keperluan rohani, spiritual dan khidmat masyarakat adalah kunci kejayaan umat Islam sejagat.

“Saya ingin menyingkap sedikit tentang peribadi Nabi Muhammad SAW, digambarkan oleh sahabatnya begitu pantas bergerak umpama angin kencang demi memenuhi tuntutan dan keperluan umat baginda, pada hari-hari dalam bulan Ramadan. Ia dilakukan supaya temu janjinya bersama Jibrail AS untuk bertadarrus Al-Quran berjalan lancar.

“Saya berharap Ramadan 1440H benar-benar mampu mendidik kita semua menjadi umat yang bertakwa daripada sudut vertikal iaitu hubungan dengan ALLAH SWT dan sudut horizontal iaitu hubungan sesama makhluk.

“Biar Ramadan kali ini menjadikan kita semua jaguh kemanusiaan sejagat. Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak,” katanya.

 


Pengarang :