SERDANG, 12 Mei — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) bersalaman bersama jururawat pada sambutan Hari Jururawat peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

TPM zahir penghargaan buat jururawat

SERDANG, 12 MEI: Jururawat wajar diberi penghormatan oleh kerana mereka memainkan peranan penting dan memberi bantuan besar terutama ketika doktor menghadapi tekanan berat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengimbau peristiwa semasa beliau baru saja lulus dari pusat pengajian perubatan, Dr Wan Azizah berkata sokongan yang diberikan oleh jururawat yang bekerja dengannya pada waktu itu menjadikan beliau rasa lebih yakin bekerja.

“Kerana itulah saya tampil hari ini untuk memberi penghormatan kepada jururawat. Ketika saya menjadi doktor, saya menghargai jururawat saya semasa pembedahan oleh kerana jururawat dapat membaca fikiran saya dengan begitu tepat, lantas memberikan saya alat yang betul yang saya perlukan,” kata Dr Wan Azizah dalam ucapannya semasa melancarkan Hari Jururawat Antarabangsa 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dihadiri oleh 3,000 jururawat dari seluruh negara di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berterima kasih kepada jururawat kerana sumbangan mereka kepada negara dan menasihatkan mereka meningkatkan kemahiran, fokus kepada pembinaan kapasiti di samping mewujudkan imbangan kerja-kehidupan.

Hari Jururawat Antarabangsa yang disambut di seluruh dunia pada 12 Mei setiap tahun adalah juga tarikh lahir Florence Nightingale yang dianggp sebagai pengasas kejururawatan kontemporari.

Tema sambutan tahun ini ialah ‘Jururawat: Suara untuk Memimpin – Kesihatan untuk Semua’ yang menggalakkan jururawat menentukan suara mereka didengar bagi mempengaruhi perancangan dasar kesihatan.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengucapkan Selamat Hari Ibu untuk semua ibu di dunia terutama di Malaysia.

Beliau turut berharap semua individu menghargai ibu masing-masing kerana selain melahirkan dan membesarkan, ibu adalah pendidik pertama dalam hidup setiap orang.

Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, nisbah jururawat kepada penduduk di Malaysia pada masa ini ialah satu jururawat bagi setiap 300 penduduk berbanding nisbah yang dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu satu jururawat bagi setiap 200 penduduk.

Terdapat 3,500 kekosongan jururawat di seluruh negara dan daripada jumlah itu 980 lantikan secara berperingkat ke jawatan tetap akan dibuat mulai esok (13 Mei).

Baki kekosongan berkenaan akan diisi dengan lantikan kontrak secara berfasa, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :