SELANGOR

Tradisi rewang bubur lambuk diteruskan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 MEI: Wanita Keadilan Kota Raja dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung berjaya menganjurkan program Rewang Bubur Lambuk, di Bukit Naga, di sini.

Tradisi gotong royong menyiapkan juadah seperti amalan kenduri kendara di kampung itu bertujuan membangkitkan suasana meriah dengan pembabitan semua lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, seramai 40 penduduk sekitar menyertai aacara itu dengan mula memasak bubur lambuk seawal jam 8 pagi tadi.

“Kesinambungan tradisi ini perlu diteruskan. Oleh itu, kita mahu mereka bersama-sama dengan pimpinan untuk turun memasak bersama-sama.

“Ia juga bertujuan menyemarakkan lagi Ramadan selain dapat mengeratkan silaturahim antara pimpinan dan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, Zawawi berkata, program itu juga perlu diteruskan pada masa hadapan supaya budaya ‘merewang’ terus subur dan tidak dilupakan.

Menariknya kali ini, kaum wanita dikehendaki memakai kain batik sebagai tema pakaian pada program itu.

Malah, Zawawi turut berkesempatan mengajar kaum wanita menganyam pelbagai jenis ketupat antaranya ketupat sate, sintok, bawang dan kodok.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan Kota Raja, Siti Anum Tawil berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk berperisa ayam dan daging untuk diedarkan ke parlimen terbabit.

“Bagi bubur lambuk daging, kita akan edarkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Kota Kemuning. Manakala bubur lambuk ayam pula ke DUN Sentosa.

“Memasak bubur lambuk ini juga pada hari ini membabitkan kaum India. Inilah uniknya, cara kita mengeratkan silaturahim. Kita tidak meninggalkan mana-mana kaum,” katanya.

Beliau berkata, resepi bubur lambuk menggunakan rempah kurma itu juga direka sendiri oleh tukang masaknya.

 


Pengarang :