GLOBAL

Trump temu Moon dalam sidang kemuncak di Korea Selatan pada Jun

WASHINGTON, 16 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan melawat Korea Selatan bulan depan untuk mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Moon Jae-in, antara lain untuk membincangkan mengenai isu Korea Utara dan hubungan dua hala.

Menurut agensi berita Yonhap, memetik pengumuman kerajaan Korea Selatan dan AS, kunjungan Trump itu juga bersempena lawatannya ke Jepun bagi menghadiri sidang kemuncak G20 yang dijadual pada 28 hingga 29 Jun.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kaedah untuk mewujudkan rejim damai yang kekal di Semenanjung Korea serta mengukuhkan hubungan dua hala, menurut jurucakap pejabat presiden Korea Selatan, Ko Min Jung.

Sementara itu, setiausaha akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin akan meneruskan perbincangan mengenai usaha mewujudkan Korea yang bebas senjata nuklear.

Kali terakhir Trump ke Korea Selatan pada November 2017 di tengah-tengah ketegangan dengan Korea Utara.

Tahun lepas juga menyaksikan tiga sidang kemuncak diadakan antara Moon dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un serta pertemuan bersejarah antara Trump dan Kim.

Sidang kemuncak pertama Trump dan Kim berlangsung di Singapura pada Jun 2018, disusuli sidang kemuncak kedua di Vietnam pada Februari lalu yang berakhir tanpa sebarang kata sepakat.

Ketegangan terbaru tercetus selepas Korea Utara melancarkan satu siri projektil roket, termasuk peluru berpandu jarak dekat, ke Laut Timur pada 4 dan 9 Mei.

AS pula pada minggu lepas mengumumkan buat pertama kali, pihaknya merampas sebuah kapal kargo Korea Utara, disyaki membawa eksport arang batu dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas rejim itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :