RENCANA

Tujuh likur semakin ditelan zaman

OLEH NAZLI IBRAHIM

DI era 1990-an dan sebelumnya, malam 27 likur atau lebih dikenali sebagai malam tujuh likur disambut meriah terutama di desa-desa.

Kemeriahan malam tujuh likur yang disambut pada malam ke-27 Ramadan iaitu dua atau tiga hari sebelum menjelang hari raya itu akan diterangi dengan pelbagai pelita panjut sama ada diperbuat daripada buluh atau pelita yang boleh dibeli di kedai-kedai.

Selain itu di sesetengah kampung, di lokasi strategik seperti simpang jalan turut dibina pelbagai replika seperti masjid atau ketupat dengan berlatar belakang tulisan ‘selamat hari raya’ dengan diterangi pelita-pelita panjut.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Yusmilayati Yunos berkata, perbuatan memasang pelita pada malam tujuh likur di jalan menuju ke masjid atau surau bertujuan menerangi jalan bagi kemudahan penduduk kampung.

“Kampung dahulu bukan macam sekarang kerana pada masa itu gelap gelita dengan keadaan jalan yang hanyalah lorong atau jalan kecil sahaja, ditambah banyak binatang bahaya tetapi sekarang kebanyakannya ada lampu jalan.

“Pelita panjut dipasang pada masa itu memudahkan orang kampung yang mahu meningkatkan ibadah di masjid pada tiga malam terakhir lailatul qadar yang dipercayai asal usul wujudnya sambutan malam tujuh likur.

“Selain itu, ia dapat memudahkan anak-anak di perantauan yang bakal tiba pada malam hari untuk pulang berhari raya di kampung,” katanya ketika ditemui SelangorKini, baru-baru ini.

Katanya, ini ekoran menurut Islam, malam lailatul qadar jatuh pada salah satu malam antara malam ke-20 hingga malam terakhir Ramadan.

Lailatul qadar adalah malam istimewa bagi umat Islam yang dalam al-Quran turut disebutkan sebagai malam lebih baik daripada 1,000 bulan dan juga malam turunnya al-Quran.

Sementara di sesetengah kampung pula, turut diadakan kenduri dengan juadah istimewa seperti nasi minyak di masjid atau surau yang dihadiri seluruh penduduk kampung untuk berbuka puasa dan bersembahyang terawih bersama.

Amalan mengadakan kenduri ini juga berkait rapat dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah makanan khasnya kepada orang yang berpuasa.

Aktiviti gotong-royong

Yusmilayati berkata, selain dikaitkan dengan aktiviti keagamaan, malam tujuh likur turut diisi dengan beberapa aktiviti lain bagi menambahkan lagi kemeriahan malam itu.

“Orang kampung dulu-dulu amat mementingkan semangat bermuafakat dengan mengadakan gotong-royong dalam banyak hal termasuk membuat persiapan hari raya.

“Selain bergotong-royong menyediakan juadah kenduri di masjid mereka juga memasak juadah raya seperti dodol, bahulu dan wajik sehingga larut malam pada malam tujuh likur yang hasilnya mereka bahagikan sesama mereka,” katanya.

Selain golongan dewasa, golongan kanak-kanak adalah golongan paling tidak sabar untuk menyambut malam tujuh likur.

Ini kerana pada malam terbabit, mereka berpeluang bermain meriam buluh, bunga api dan mercun yang masih lagi belum diharamkan kerajaan ketika itu.

Pada malam itu, mereka berlawan sesama sendiri dengan dentuman meriam buluh, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan malam tujuh likur.

Tujuh likur era kini

Bagaimanapun pada masa kini, malam tujuh likur tidak lagi disambut meriah seperti dahulu.

Yusmilayati berkata, arus kemodenan antara faktor yang menyebabkan malam tujuh likur hari ini semakin kurang meriah.

“Di kampung-kampung sekarang, kebanyakannya sudah ada lampu jalan, ditambah lagi dengan kebanyakan anak muda sudah berhijrah ke bandar dan yang tinggal hanyalah orang-orang tua yang tidak berapa berdaya membuat persiapan memasang pelita.

“Jika ada yang memasang pelita panjut pun hanya sekadar isyarat sahaja yang dipasang di halaman rumah masing-masing oleh beberapa anak muda yang masih menetap di kampung,” katanya.

Selain itu, kepesatan teknologi moden seperti televisyen, peranti moden seperti telefon bimbit dan gajet lain turut memainkan peranan kepada malapnya sambutan malam tujuh likur.

Beliau berkata, tanpa disedari amalan sambutan malam tujuh likur sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Melayu yang semakin dilupakan.

“Pada pandangan saya, ini salah satu cara untuk kita mengingati kembali zaman datuk nenek dahulu yang patut dikekalkan kerana mengandungi banyak nilai positif.

“Ini salah satu warisan yang boleh diketengah atau diteruskan, cuma boleh disesuaikan dengan keadaan sekarang sekurang-kurangnya ketika anak cucu balik dan paling penting selagi tidak melanggar syariat Islam.

“Kalau bukan malam 27 pun, boleh buat malam 28 asalkan sekurang-kurangnya malam tujuh likur tidak ditelan zaman,” katanya.


Pengarang :