Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
BERITA UTAMANASIONAL

Tun M antara 50 tokoh dunia paling berpengaruh

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disenarai ditangga ke 47 daripada 50 tokoh dunia paling berpengaruh 2019 oleh sebuah portal antarabangsa, Fortune.com.

Memetik laporan portal berkenaan, pemilihan itu berdasarkan kemampuan pemimpin berusia 93 tahun itu kembali ke arena politik sekali gus berjaya mengejutkan kepimpinan kerajaan lama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, lalu.

“Sepanjang 22 tahun bergelar Perdana Menteri pada tempoh pertama, dari 1981 hingga 2003, beliau menjadikan Malaysia sebagai harimau ekonomi Asia Tenggara.

“Setelah beliau kembali semula, Mahathir kini berusaha menangani masalah rasuah yang melanda institusi negara, dan membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke mahkamah.

“Mahathir dan parti pemerintahannya kini bergerak ke arah melindungi kebebasan kehakiman dan kebebasan media,” kata portal berkenaan.

Terdahulu, Fortune.com meletakkan Pengasas Microsoft, Bill Gates bersama isterinya, Melinda pada kedudukan nombor satu tokoh dunia paling berpengaruh.

Ia diikuti Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang berjaya menangani isu serangan masjid di Christchurch baru-baru ini, yang turut menyaksikan negara itu menguatkuasakan larangan baharu membabitkan penggunaan senjata api.

Tokoh berpengaruh lain yang turut disenaraikan ialah Duke of Sussex, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle pada tangga 42.


Pengarang :