NASIONAL

Tun M mampu pulihkan ekonomi dalam dua tahun

BUKIT MERTAJAM, 18 MEI: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ekonomi negara akan pulih dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan perancangan dan pelaksanaan yang sedang dijalankan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anwar, yang juga Anggota Parlimen Port Dickson, berkata Perdana Menteri ketika ini telah meletakkan beberapa agensi kerajaan dalam kedudukan asas yang baik bagi memastikan ekonomi negara semakin baik.

“Selepas kita (Pakatan Harapan (PH)) menang tahun lepas baru kita sedar keadaan ekonomi negara terlalu teruk… ini bukan politik tetapi kenyataan yang benar dan rakyat semua perlu tahu.

“Saya yakin mudah-mudahan dalam setahun dua ini Tun (Dr. Mahathir) dapat pulihkan ekonomi negara dan seterusnya dapat meneruskan agenda membantu rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anwar Di Masjid Al-Falah, di Permatang Pasir dekat sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr. Afif Bahardin dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain serta 500 orang termasuk penduduk kampung hadir berbuka puasa dan kemudian menunaikan solat terawikh bersama Anwar.

Sementara itu, Anwar yang juga Ketua Umum PH menggesa umat Islam di seluruh negara supaya menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa turunnya Al-Quran ketika Ramadan dalam usaha merapatkan jurang perkauman.

Ini kerana Al-Quran membawa mesej yang jelas dan menjadi petunjuk kepada umat Islam serta tidak boleh digunakan sebagai medium untuk mewujudkan perbalahan.

“Kadang-kadang saya tidak faham kenapa dalam tazkirah, ajaran atau parti kita atau sebagainya boleh sempitkan risalah (Al-Quran) ini. Mahu bezakan, tunjukkan permusuhan terus menerus antara Islam dan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata naratif berhubung isu perkauman yang diketengahkan sesetengah pihak disifatkan sebagai sesuatu yang bukan dibawa dalam ajaran Islam.

“Saya tahu dalam naratif kita sekarang orang Melayu dengan Melayu, bukan Melayu dengan bukan Melayu dan ketegangan secara terus-menerus. Saya tak anggap ini sesuatu dianjurkan Islam.

“Islam menekankan untuk kita bantu masyarakat dan tentu akan tahu masalah kemiskinan, pendidikan, kesihatan, kaum dan masyarakat yang wujud. Bagaimanapun, (Islam) tak pernah maksudnya untuk melawan, memusuhi, meremehkan atau memijak hak orang lain,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :