-fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tun M: Orang tengah antara punca kenaikan harga barang

PUTRAJAYA, 9 MEI: Kewujudan orang tengah atau kartel merupakan salah satu faktor menyumbang kepada kenaikan harga barang di psasaran, menurut Tun Dr Mahathir Mohamad.

Misalnya, Perdana Menteri berkata, ada jenis sayur-sayuran tertentu di Cameron Highlands dijual dengan harga 50 sen sekilogram tetapi apabila bekalan tersebut sampai di pasaran, harganya melonjak kepada RM7 sekilogram.

”Jadi di antara sumber dan pasaran, ada sesuatu lain berlaku….oleh itu ini semua perlu ditangani,” katanya dalam wawancara khas bersama media sempena ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sini.

Dr Mahathir menjawab soalan bagaimana cara kerajaan PH menangani isu peningkatan kos sara hidup sejak setahun lalu yang menjadi rungutan terutama dalam kalangan isi rumah golongan bawah 40 peratus (B40) dan pertengahan 40 peratus (M40).

”Saya fikir pada masa ini harga mungkin tidak turun tetapi apa yang kami mahu melaksanankan ialah meningkatkan kuasa pembelian rakyat, Ringgit kita kini berada di bawah paras nilai yang tidak sepatutnya…oleh itu kos barangan telah meningkat,” katanya.

Dr Mahathir berkata terdapat aduan bahawa kerajaan tidak melakukan sebarang usaha untuk membantu pekebun kecil kelapa sawit tetapi mereka yang mengusahakan tanah keluasan 0.8 hektar (dua ekar) tanah tidak boleh mengharapkan untuk menjadi jutawan.

“Öleh itu kita tampil dengan idea baharu.. kami mahu mereka mengusahakan tanaman campuran dengan memastikan mereka mendapat nasihat yang tepat tentang kaedah pertanian moden.

“Kita mesti menggabungkan tanah pekebun kecil supaya menjadi ladang dan lebih menguntungkan. Kami mempunyai banyak idea untuk membawa perubahan tetapi menjual idea tersebut adalah sesuatu yang sukar” katanya.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negara mengimport bahan makanan bernilai berbilion ringgit setiap tahun sedangkan kebanyakan produk makanan boleh dihasilkan di negara ini.

“Ini semua sedang diusahakan oleh kerajaan malah proses penanaman sudah bermula. Misalnya, sebelum ini kita tidak tahu menanam nanas boleh membuat anda menjadi seorang jutawan sehingga kita melihat orang yang mengusahakannya,” katanya.

“Baru-baru ini saya menerima nanas dari Rompin (Pahang) dipanggi Rompines. Buahnya sungguh manis dan tidak meninggalkan rasa kurang enak di mulut….tolong beli produk Malaysia. Syarikat ini sudah mengusahakan ratusan hektar tanaman itu dan kini mengeluarkan buah manggis,” katanya.

Beliau berkata usaha syarikat itu kini menguntungkan kerana sedar akan menghadapi masalah jika menaman kelapa sawit dengan keluasan tanah yang terhad.

-BERNAMA


Pengarang :