PUTRAJAYA, 8 Mei — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media khas sempena setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tun M: Rakyat tidak ambil iktibar kebanjiran pekerja asing

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 MEI: Jumlah pendatang asing yang menguasai ekonomi secara senyap masih belum diambil iktibar rakyat di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, segelintir rakyat tidak belajar daripada pengalaman walaupun kumpulan itu semakin mencabar ekonomi penduduk tempatan.

“Jika dahulu taraf mereka rendah, ini kerana mereka melakukan kerja yang kita tidak mahu lakukan, pendatang dari negara lain ini datang dan mengisi kekosongan pekerjaan.

“Tetapi sekarang sudah ada di antara mereka yang menjadi pemilik warung dan juga premis kedai, tetapi orang kita sebaliknya pula menjual kedai dan sebagainya, sedangkan duit itu tidak kekal lama,” katanya.

Pada masa sama, Tun Mahathir berkata, masih ramai rakyat di negara ini meneruskan cara hidup lama sehingga mendakwa kerajaan tidak membantu mereka.

“Mereka kata, apa guna pilih kerajaan baru jika tak boleh tolong, sedangkan kita sudah bagi pertolongan melalui pembelajaran.

“Kita ada sekolah, universiti dan pusat latihan, itu semua sumbangan kerajaan yang perlu disambut baik, jadi gunakanlah badan dan otak kita sebaiknya, jika tidak digunakan mungkin ia akan menjadi lemah selamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Bicara Khas Malaysia Dinamik dan Bersih bersama Tun Dr Mahathir sempena setahun pemerintahan PAKATAN memimpin Malaysia di TV1, malam tadi.


Pengarang :