KUALA LUMPUR, 15 Mei — Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua, kanan) berkenan menyampaikan replika cek sumbangan melalui Tabung Kebajikan Hospital-Hospital bernilai RM1.25 juta kepada Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor (kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (dua, kiri). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tunku Azizah serah sumbangan zakat MAIWP RM1.35 juta

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM1.35 juta kepada 14 tabung kebajikan hospital hari ini.

Majlis pengurniaan sumbangan kepada tabung kebajikan hospital dalam Wilayah Persekutuan itu berlangsung di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), dekat sini, yang dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Tunku Azizah kemudian berkenan melawat dan beramah mesra serta menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta hamper kepada pesakit di Wad Pediatrik Onkologi dan Hematologi hospital berkenaan, sebelum berangkat pulang.

Sementara itu, Fuziah ketika ditemui pemberita berkata selain tabung kebajikan HCTM, penerima sumbangan yang lain ialah Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Institut Jantung Negara, Hospital Selayang, Majlis Kanser Nasional, Yayasan Kanser Malaysia, Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tuanku Mizan, Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Pusrawi, Hospital Labuan dan Yayasan Institut Jantung Negara.

Beliau berkata pemberian sumbangan kepada pesakit dan anggota keluarga yang kurang berkemampuan bukan sahaja yang beragama Islam tetapi juga bukan Islam sebagai tanda keprihatinan MAIWP kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Ia adalah sumbangan berterusan sejak 2002 dari MAIWP kepada tabung kebajikan hospital berkenaan untuk disalurkan kepada pesakit yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan dalam membiayai rawatan perubatan mereka,” katanya.

Jumlah sumbangan yang diberikan tahun ini, katanya, meningkat berbanding RM1.25 juta tahun lepas hasil peningkatan sumbangan zakat daripada orang ramai khususnya pihak korporat.

“Dengan peningkatan sumbangan (zakat) daripada orang ramai lebih banyak kita dapat membantu hospital-hospital dan memberi sistem sokongan kepada pesakit serta ahli keluarga yang membantu menjaga mereka di hospital,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :