Selangorkini
ALAM SEKITAR & CUACA PBT

Ubahsuai haram, penduduk didenda RM15,000

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 MEI: Seorang penduduk di daerah ini dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 15,000 oleh Mahkamah Majistret Klang atas beberapa kesalahan berkaitan ubahsuai rumah di sini.

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, antara kesalahannya adalah membina tambahan teres terbuka dan anjung kereta tanpa kebenaran bertulis kepada MPK.

Selain itu, katanya, pemilik yang tinggal di Taman Sentosa itu juga turut menggunakan kediaman bagi menjalankan perniagaan tanpa kelulusan.

“Pemilik dikenakan pertuduhan Seksyen 70 (11),Seksyen 70 (12) dan Seksyen 70 (13) (d) ,Akta Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang enggan mematuhi arahan berkaitan ubahsuai rumah terutama yang menjalankan perniagaan di situ.

“Penguatkuasaan berterusan akan dijalankan oleh semua jabatan yang terlibat bagi memastikan tiada pihak yang ingkar dengan arahan yang ditetapkan MPK,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Yasid berkata, tindakan pemilik rumah yang menjadikan kediaman mereka sebagai premis perniagaan adalah satu kesalahan kerana berniaga di luar kawasan yang ditetapkan.

Katanya, ia sekaligus menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat terutama isu kebersihan dan ketenteraman awam.

“Tindakan pemilik yang mengubahsuai rumah tanpa kelulusan MPK juga boleh mendatangkan ancaman jika binaan itu tidak menepati ciri-ciri keselamatan seterusnya berisiko kepada jiran-jiran sekeliling,” katanya.


Pengarang :