NASIONAL

Ucapan selamat setahun PAKATAN banjiri media sosial

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Rakyat Malaysia menggunakan media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook untuk mengimbau kembali kenangan dan pengalaman mereka ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei, yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) sekaligus menawan Putrajaya.

Antara mereka ialah bekas Menteri Perdagangan, Tan Sri Rafidah Aziz yang mengucapkan tahniah kepada kerajaan PAKATAN dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman Facebooknya.

Beliau menggesa rakyat Malaysia untuk menghakimi dan menilai selepas PAKATAN menamatkan tempoh penggalnya.

“Kita harus membenarkan tempoh lima tahun itu berakhir sebelum membuat penghakiman dan penilaian terhadap prestasi kerajaan PAKATAN. Insya-Allah, PAKATAN dapat memenuhi jangkaan rakyat, sebelum rakyat keluar sekali lagi untuk mengundi dalam masa empat tahun pada PRU15, ” menurut catatan beliau.

Rafidah mempunyai 38,468 pengikut di laman Facebooknya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018, gabungan Pakatan Harapan memperoleh keseluruhan 5,685,252 undi daripada 12,299, 514 pengundi yang menunaikan hak mereka. Jumlah yang keluar mengundi ialah 82.32 peratus.

Dalam pada itu, posting selebriti terkenal Chef Wan dalam Instagram mengenai Dr Mahathir menerima 14,632 like.

“Beliau sememangnya Wira Malaysia! Menyelamatkan negara daripada kebankrapan !, ” menurut posting Chef wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail.

“Ya, kita mungkin tidak mempunyai kerajaan yang cukup sempurna untuk memulihkan ekonomi kita dalam tempoh yang singkat selepas apa yang dilakukan oleh pemerintahan UMNO sebelum ini tetapi sesungguhnya kita sentiasa lebih baik daripada mempunyai kerajaan yang korup yang mencuri dari rakyat dan memalukan orang Melayu, Agama dan Negara! ”

“Enough is enough! Kini adalah masanya bagi kita semua untuk bersatu sebagai Malaysia baharu untuk membina semula negara dan tebus maruah diri kita !, ” menurut catatannya.

Ketiga-tiga hashtag yang cukup popular di Twitter ialah #MalaysiaBaharu, #GE14 dan #SelamatHariRakyat.

“Selamat ulang tahun kepada #MalaysiaBaharu! Saya terus mendapat inspirasi oleh perubahan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, dalam suasana aman! Walaupun laluan penuh berliku sepanjang bulan, kami akan membina dan membentuk Negara ini, secara perlahan tetapi pasti !!, ” menurut catatan Cynthia Gabriel di laman Twitter.

“Hari ini adalah 9 Mei. Saya akan mengingati tarikh ini buat selama-lamanya. Gembira menjadi sebahagian daripada sejarah, ” menurut catatan seorang lagi melalui akaun twitter @ saufi.co.

“Salam #MalaysiaBaharu! Hari ini adalah hari yang indah, genap 1 tahun. Malaysia berada di landasan yang betul – institusi menjalani pembaharuan, kedaulatan undang-undang kembali, rasuah & penyalahgunaan kuasa semakin kurang. Skandal 1MDB, FELDA, Tabung Haji dan lain-lain ditanghani & lebih banyak kebebasan awam, ” kata Eric Paulsen, Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara akerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia di laman blog.

“Mereka yang memilih Pakatan Harapan … ANDA telah membantu untuk mengubah Kerajaan 60 tahun yang tidak pernah kalah sejak Merdeka !!! Negara-negara lain terpaksa berperang tetapi rakyat Malaysia membawa perubahan melalui undi !! Hidup Rakyat !!!, “kata @ BadBoy2662.

Hampir semua posting mengenai ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan sama ada disertai dengan gambar jari mereka dicelup dengan dakwat atau gambar keluarga, kawan-kawan yang mengundi bersama serta juga gambar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana kembali untuk membetulkan kesilapan.

“#MalaysiaBaharu @etoetofficial Kami berterima kasih kepada anda dan kami menyayangi anda,” kata @ Joshluc81.

“@Justetofficial Tun, Tuhan memberkati anda. Terima kasih atas apa yang telah anda lakukan untuk kami. Selamat ulang tahun, ” kata @ selvan9168. Tweetnya disertai gambar dua orang anaknya.

Seramai 23.83 juta rakyat Malaysia memuatkan posting di Facebook, 13.74 juta di Instagram dan 2.4 juta pengguna aktif di Twitter.

— BERNAMA

 


Pengarang :