SUKANKINI

UCL: Amukan Liverpool singkirkan Barcelona di Anfield

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 8 MEI: Liverpool melakar satu lagi sejarah kebangkitan mengagumkan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menewaskan Barcelona 4-0 untuk mara ke pentas akhir di Madrid dengan agregat 4-3.

Ketinggalan 0-3 menerusi agregat susulan kekalahan pada separuh akhir pertama dan tanpa kelibat Mohamed Salah serta Roberto Firmino, The Reds memastikan semua itu boleh diatasi dengan sorakan padu penyokong sendiri.

Divock Origi memulakan pesta di Anfield dengan gol pertama tuan rumah pada minit ketujuh selepas menolak masuk bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol, Ter Stagen bagi gol pertama The Reds.

Barcelona cuba bangkit dengan percubaan Lionel Messi tetapi gagal menemui jaringan dan kedudukan 1-0 kekal pada babak pertama.

Malang buat Liverpool apabila kehilangan khidmat pertahanan kiri, Andy Robertson yang cedera dan Jurgen Klopp terpaksa membawa masuk Georginio Wjanaldum.

Kemasukan bintang Belanda itu membuahkan hasil apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-54 apabila menyambut hantaran Trent Alexander-Arnold bagi kedudukan 2-0.

Selang dua minit kemudian, Wjanaldum menjadikan kedudukan 3-0, sekali gus menyamakan agregat 3-3 apabila melonjak tinggi untuk menanduk hantaran Xherdan Shaqiri.

Messi cuba untuk menghasilkan gol menerusi sepakan percuma seperti yang dilakukan di Nou Camp minggu lalu tetapi benteng pertahanan yang diketuai Vigil Van Dijk berjaya menafikannya.

Gol keempat yang dicari Liverpool akhirnya menjelma pada minit ke-79 sekali lagi menerusi Origi apabila dia mudah menampan sepakan penjuru Alexander-Arnold bagi kedudukan 4-0.

Benteng Liverpool berjaya menyerap tekanan sehingga tamat masa tambahan lima minit bagi memastikan mereka mara ke final UCL buat kali kesembilan dalam sejarah kejohanan.

Setakat ini Liverpool sudah menjulang lima trofi UCL dan kali terakhir pada 2005 di Istanbul, Turki.

Kredit Foto: UEFA Champions League


Pengarang :