SUKANKINI

UCL: Hatrik Lucas Moura bawa Spurs ke final

OLEH AFIX REDZUAN

AMSTERDAM, 9 MEI: Tottenham Hotspur memastikan pentas final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini didominasi kelab England apabila melakar kemenangan dramatik 2-3 ke atas Ajax Amsterdam, awal pagi tadi.

Kebangkitan itu menyaksikan Spurs berjaya mengikat agregat 3-3 dan mara ke perlawanan akhir menerusi peraturan gol tempat lawan hasil jaringan hatrik Lucas Moura pada perlawanan separuh akhir kedua di Johan Cruijff Arena.

Bagaimanapun, Spurs terlebih dahulu ketinggalan 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Matthijs de Ligt seawal minit kelima dan Hakim Ziyech selang 30 minit kemudian.

Moura memulakan kebangkitan skuad bimbingan Mouricio Pochettino pada minit ke-55 menerusi gerakan satu dua bersama Dele Alli.

Selang empat minit kemudian, Moura menyamakan kedudukan 2-2 apabila berjaya memanfaatkan kekalutan di hadapan gawang Ajax selepas pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti.

Menuju minit akhir masa tambahan lima minit, Moura sekali lagi muncul wira Spurs apabila berjaya meledak gol ketiga bagi memastikan pasukannya mara ke pentas akhir buat pertama kali dalam sejarah.

Spurs dijadualkan bertemu Liverpool 1 Jun ini di Madrid bagi menentukan juara eropah musim ini, sekali gus mengakhiri penguasaan kelab dari Sepanyol dalam tempoh enam tahun.

Kredit Foto: UEFA Champions League

 


Pengarang :