SUKANKINI

UCL: Messi pastikan Liverpool menderita 3-0 di Nou Camp

OLEH AFIX REDZUAN

BARCELONA, 2 MEI: Barcelona tidak berdepan masalah membelasah Liverpool 3-0 dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Lionel Messi menjadi pemusnah The Reds dengan dua gol dalam tempoh 11 minit bagi menambah derita pelawat di babak kedua.

Luis Suarez memulakan kegembiraan pasukan tuan rumah pada minit ke-26 apabila menjaringkan gol pertama selepas menampan bola hantaran Jordi Alba pada babak pertama.

Liverpool cuba bangkit dengan melancarkan beberapa siri serangan selepas itu tetapi berjaya dipatahkan pertahanan Barcelona.

Masuk babak kedua, James Milner mempunyai dua peluang terbaik memecah kebuntuan buat Liverpool tetapi ketangkasan penjaga gol, Ter Stangen menafikan hasrat itu.

Sebaliknya, Messi menambah jaringan 2-0 buat Barcelona apabila berjaya mengawal bola percubaan awal Suarez yang terkena palang sebelum mudah menolak masuk ke gawang pelawat pada minit ke-75.

Pemain Argentina itu menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-86 menerusi sepakan percuma cantik yang terus ke penjuru atas gawang Liverpool tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Alisson Becker.

Tugas sukar menanti skuad bimbingan Jurgen Klopp untuk memadam defisit jaringan pada pertemuan kedua 8 Mei hadapan di Anfield.

Foto Sumber : UEFA Champions League

 

 

 

 

 

 


Pengarang :