SELANGOR

Ugut Pengarah Penguatkuasa MPS: Polis buru ‘Man Puchong’

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Polis memburu individu Jafni Abdullah atau dikenali sebagai ‘Man Puchong’ bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap seorang pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya sebelum ini telah mengeluarkan arahan supaya individu berkenaan tampil menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi membantu siasatan.

“Tiada sebarang tangkapan terbaru dibuat setakat ini manakala individu lain yang ditahan sudah diambil keterangan. Setakat ini, Man Puchong masih belum tampil untuk membantu siatasan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, pihak polis berjaya menahan lapan lelaki dan dua wanita yang disyaki terbabit dalam kes ugutan tersebut.

Pada 28 April lepas, rumah dan kereta Pengarah Penguat Kuasa MPS di Taman Muhibbah, Rawang itu telah diserang oleh beberapa lelaki.

Dua kenderaan milik mangsa turut disimbah cat berwarna merah selain tong cat berisi paku, besi dan serpihan kertas telah dibakar dengan mercun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. – BERNAMA


Pengarang :