SHAH ALAM, 11 Mei — Pemain Pemain UITM FC Muhammad Ridzuan Azly Hussham (dua, kiri) diasak pemain UKM FC Wan Mohd Afiq Wan Mohamed Kasbi (depan, kanan) dalam perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium UITM Shah Alam hari ini. Keputusan separuh masa pertama UITM FC 0-0 UKM FC. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

UiTM FC rapatkan jurang, PDRM pesta gol

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Pasukan UiTM FC berjaya merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Premier, Johor Darul Ta’zim (JDT) II selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas UKM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Jaringan tunggal perlawanan dijaringkan oleh Mohammad Amer Azahar, yang meledak masuk sepakan penjuru pada minit ke-83.

Keputusan itu menyaksikan UiTM FC yang telah bermain 12 perlawanan, melonjak ke tangga kedua carta selepas mengumpul 23 mata dengan memintas Sabah (21 mata), manakala JDT II terus kekal di tangga teratas dengan 24 mata, walaupun baru bermain 11 perlawanan.

Di Stadium Hang Hebat, Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakarkan kemenangan ketiga berturut-turut apabila berpesta gol ke atas Sarawak menerusi kemenangan 6-2.

Skuad ‘The Cops’ membuka jaringan menerusi Azmizi Azmi seawal minit ke-10, namun Muhammad Firdaus Fauzi berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian buat skuad Bujang Senang.

Juara liga pada 2007 dan 2014 itu, kemudian terus ‘merusuh’ apabila menjaringkan gol menerusi pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang-hoon pada minit ke-25, pemain import Brazil, Andre Francisco Williams Rocha Da Silva (29’) dan sepakan penalti Shahurain Abu Samah (41’).

Bersambung pada babak kedua, pemain gantian, R. Gopinathan menambah derita buat Sarawak apabila menambah jaringan pada minit ke-72 dan 90, manakala pasukan pelawat mengurangkan defisit menerusi Zahrul Nizwan Joe Kifli pada minit ke-86.

Keputusan itu menyaksikan PDRM melonjak dua anak tangga ke kedudukan kelima carta dengan 15 mata, manakala Sarawak kekal di tempat ke-10 selepas hanya meraih sembilan mata daripada 12 aksi setakat ini.

Sementara itu, Pulau Pinang pula membenam pasukan tercorot liga, Kelantan 4-1 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Pasukan tuan rumah, Pulau Pinang bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit kelima menerusi penyerang import dari Argentina, Julian Bottaro, sebelum pemain import dari Korea Selatan, Kang Seung-jo menggandakan jaringan pada minit ke-39.

Kelantan yang turun tanpa kelibat pemain import, terus dihukum apabila seorang lagi pemain import dari Argentina, Sergio Aguero menjaringkan gol pada minit ke-47 dan 58, manakala gol sagu hati skuad ‘The Red Warriors’ diperoleh menerusi Mohamad Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-78.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :