PENDIDIKAN

UM sedia khidmat nasihat dan terapi percuma

 

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 14 MEI: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) mengambil inisatif menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan terapi kepada masyarakat awam, bermula semalam.

Ketua Jabatannya, Prof Madya Dr Che Zarrina Sa’ari berkata, khidmat terbabit disediakan bagi membantu mereka yang mengalami masalah spiritual, emosi, pemikiran dan tingkahlaku.

Katanya, masalah terbabit mungkin berpunca daripada pelbagai faktor seperti tekanan belajar, krisis kewangan, budaya hidup, pelbagai bentuk pemikiran yang bercanggah dengan ajaran Islam Ahlul Sunnah wal Jamaah serta gangguan luar yang tidak dapat dikesan dalam dunia perubatan.

“Fasilitator yang dikenal pasti oleh jabatan terdiri daripada pensyarah berkepakaran dalam bidang Psikospiritual Islam dan dibantu oleh calon Ijazah Tinggi dalam bidang itu. Mereka menghulurkan khidmat nasihat dan bimbingan secara percuma kepada yang memerlukan.

“Di samping itu, pensyarah yang pakar dalam bidang akidah, perbandingan agama, dan pemikiran Islam akan turut berkhidmat apabila kepakaran mereka diperlukan,” tulisnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Perkhidmatan terbabit diadakan pada setiap hari, mengikut masa janji temu yang ditetapkan dan berlangsung di Bilik Perundingan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Level 4, Blok B, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Janji temu boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-79676014 atau terus ke kaunter Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi pengajian Islam, Universiti Malaya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :