NASIONAL

Unit Komunikasi Menteri perlu latihan, lebih intim media

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MEI: Unit komunikasi media di kementerian perlu diberi latihan secukupnya bagi meningkatkan keberkesanan dalam menyampaikan dasar dan menjawab sebarang kekeliruan yang wujud membabitkan menteri di kementerian terbabit.

Pengarang Kumpulan Media Selangor, Fathi Aris Omar berkata, selain itu pihak terbabit juga wajar mengambil inisiatif untuk mengadakan interaksi lebih intim antara menteri bersama pegawainya dengan pengamal media.

“Perlu ada interaksi lebih intim antara menteri itu sendiri, kumpulan komunikasi media pihak menteri dan jabatan dengan media supaya dapat bertemu ‘hati ke hati’, kata orang.

“Ada sesi dialog yang boleh dapat maklum balas di mana saya rasa ini cara mudah untuk kita belajar berkenalan (kerana) memang tidak mungkin menteri nak pergi jumpa media yang banyak ini tetapi kita boleh adakan (sesi dialog) lebih kerap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam rancangan Menjelang Setahun Malaysia Baharu di Astro Awani, malam tadi.

Fathi berkata, antara contoh yang boleh diikuti adalah Dato’ Menteri Besar Selangor dengan kerap mengadakan dialog dengan pengamal media peringkat pertengahan dan pengurusan tertinggi di awal pelantikan beliau sebelum ini.

Katanya, pendekatan itu memberi peluang kepada pengamal media mengenali seseorang pemimpin dengan lebih dekat berbanding menghadiri sidang media yang terbatas.

Seorang lagi panelis rancangan sama, bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain pula berkata, tiada istilah percubaan bagi individu yang bertugas di dalam bidang yang sangat penting iaitu komunikasi media untuk sebuah kementerian.

“Dalam bidang profesional seperti ini tiada istilah percubaan tetapi mestilah sempurna, inilah yang saya tengok sebahagian besar unit komunikasi di kementerian tidak berfungsi dengan betul.

“Ini ditambah pula dengan kenyataan menteri yang dia sendiri mungkin tidak jelas apa yang nak disampaikan dan akhirnya seperti biasa mereka gunakan frasa wartawan salah lapor, salah petik,” katanya.

Katanya, isu salah petik tidak akan berlaku sekiranya Unit Komunikasi Kementerian tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sepatutnya mereka ambil orang bekas atau berkecimpung lama dalam bidang komunikasi dan kewartawanan,” katanya.

Ku Seman berkata, pegawai dalam Unit Komunikasi juga perlu tahu sasaran mereka dengan menggunakan kaedah yang betul sama ada kenyataan akhbar, sidang akhbar, muncul di kaca televisyen atau wawancara khas bergantung kepada keseriusan isu yang dibawa dengan pantas bagi mengelakkan sesuatu isu berpanjangan.


Pengarang :