SELANGOR

UPM bawa mangga harumanis asli buat penduduk Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 14 MEI: Penduduk Selangor tidak lagi perlu ke utara tanah air semata-mata untuk merasai keenakan buah mangga harumanis apabila Universiti Putra Malaysia (UPM) membawanya ke sini, bermula bulan depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata, buah itu bersama benih aslinya akan dibawa dari Perlis bagi memastikan keasliannya terpelihara.

“Tujuan utama kami menjual harumanis di Selangor kerana kerap berlakunya kes penipuan. Tidak dinafikan, ada lori yang membawa berkotak-kotak mangga dan mengatakan ia adalah harumanis yang asli, bahkan meletakkan harga yang begitu murah.

“Sebenarnya harumanis tidak mempunyai serat yang banyak seperti buah mangga lain, ia cair di dalam mulut dan disebabkan itu kami cuba membawa harumanis asli ke negeri ini supaya penduduk dapat menikmati buah sebenar.

“Pada masa sama, kita mahu usahawan yang menjalankan perniagaan harumanis di Perlis mendapat pasaran luar,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa UPM bersama media di Restoran L’Apprenti, di sini semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris dan hampir 30 pengamal media termasuk SelangorKini, MalaysiaGazette, Utusan, Astro Awani dan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Syed Razlan berkata, terdapat dua jenis benih yang akan dijual kepada orang ramai, iaitu benih harumanis dalam polibeg dan benih yang ditanam dalam pasu.

Namun, kali ini ia lebih menarik apabila benih pokok setinggi dua kaki itu didatangkan dengan pakej buah harumanis.

“Matlamat kami juga seiring dasar universiti yang terkenal dengan pertanian, tambahan lagi UPM adalah lokasi paling strategik untuk didatangi penduduk dari seluruh Selangor.

“Jadi jangan lepaskan peluang untuk membeli buah ikonik Perlis ini tidak lama lagi,” katanya.


Pengarang :