SELANGOR

UPM cakna OKU, sedia prasarana lengkap

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SERDANG, 18 MEI: Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), dalam penyediaan kemudahan prasarana serta infrastruktur secara berfokus juga berperingkat.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris berkata, kemudahan terbaharu yang diterima pihaknya adalah perisian khas Non-Visual Desktop Access (NVDA) dan mesin pencetak Braille yang dibiayai melalui hasil wakaf.

“Ia akan ditempatkan di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, di sini untuk kegunaan pelajar dan OKU dari luar UPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid UPM, di sini, semalam.

Pada masa sama, Dr Aini berkata, pihaknya bakal menerima van mobiliti OKU daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“UPM berterima kasih kepada LZS kerana meluluskan pembelian van mobiliti ini yang akan diserahkan dalam satu majlis khas pada 30 Mei ini,” katanya.


Pengarang :