PENDIDIKAN

UPM pertahan Maszlee, tambah kuota bukan sentimen perkauman

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik mengenai sistem kuota Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan bukan suatu sentimen perkauman.

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata, pihaknya menyokong pengumuman penambahan bilangan pelajar matrikulasi dari 25,000 kepada 40,000 kerana ia akan membantu meningkatkan bilangan pelajar cemerlang dalam kalangan aliran sains tulen yang masih kekurangan untuk pembangunan negara.

Selaku Naib Canselor beliau berkata, ia akan membantu meningkatkan lagi peluang pelajar cemerlang untuk kedua-dua pihak iaitu pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera ke dalam program Matrikulasi kementerian sebagai persediaan kemasukan ke universiti awam.

“Untuk makluman, program Matrikulasi bukan merupakan program yang memberi ruang kepada pelajar Bumiputera yang kurang kompeten kerana pemilihan kemasukan juga berdasarkan merit pencapaian pelajar sewaktu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini kerana pemilihan calon ke universiti daripada lulusan Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi dan Diploma juga dibuat berdasarkan merit pencapaian dalam peperiksaan peringkat masing-masing mengikut standard kesetaraan yang ditetapkan Unit Pusat Universiti, Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sebagai contoh, lebih dari 90 peratus pelajar lepasan Matrikulasi yang memohon ke program UPM adalah dalam kalangan yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) lebih dari 3.5 mata. Manakala lebih dari 90% kemasukan ke program Asasi Pertanian UPM (ASPER) setiap tahun adalah pelajar yang mendapat CGPA yang hampir 4 mata penuh.

“Ini menunjukkan pemilihan adalah dalam kalangan pelajar cemerlang. Ramai antara pelajar yang dipilih juga adalah dari golongan B40,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, Matrikulasi bukannya program ‘pintu belakang’ tetapi ‘affirmative’ bagi menyediakan pelajar untuk bersaing secara sihat dengan rakan yang mengikuti STPM dan Asasi.

Dr Aini berkata, isu kuota tidak wajar dibangkitkan kerana semua kemasukan dan sokongan ekosistem dalam program Matrikulasi, tingkatan enam mahupun Asasi adalah inklusif, berkualiti dan melibatkan semua kaum selaku pelajar serta pendidik.

“Program Matrikulasi adalah alternatif kepada program pra-universiti lain dan bukannya program yang bertujuan mendiskriminasikan mana-mana kaum.

“Kita dapat rumuskan semua pelajar tanpa mengira latar belakang kaum dan sosio ekonomi mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian mereka ke universiti dan dalam masa yang sama menghormati kontrak sosial yang dipersetujui oleh pembina negara bangsa sejak merdeka.

“Kontrak sosial ini menyokong peluang semua kaum dalam pendidikan, ekonomi, politik, budaya, agama dan sebagainya yang masih memerlukan reformasi secara adil dan inklusif dengan mengambil kira faktor sejarah dan perkembangan kemajuan pembinaan negara sejak 62 tahun kemerdekaan,” katanya.


Pengarang :