NASIONAL

UPM rai media buka puasa, kongsi idea bangun minda rakyat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SERDANG, 14 MEI: Bagi memperkukuh hubungan silaturahim bersama media, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, di Restoran L’Apprenti UPM, di sini, semalam.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dato’ Seri Dr Aini Ideris berkata, majlis itu juga bertujuan untuk saling bertukar maklumat dan idea antara kedua pihak, sekali gus membantu keperluan media terhadap kepakaran universiti bagi menjawab isu-isu semasa negara.

Katanya, ramai pakar UPM aktif memberi maklum balas kepakaran dalam media massa, malah banyak cadangan yang dikemukakan pada media membantu dalam merangka polisi serta meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap sesuatu bidang.

“Perkongsian kepakaran ini adalah usaha membangunkan minda rakyat melalui wacana ilmiah berkualiti sekali gus menyuburkan budaya Ilmu dan membina minda bangsa.

“Perkara ini dibantu oleh pihak media yang tidak jemu memberi publisiti kepada UPM. Selain itu, dalam berdepan segala cabaran, perkara penting adalah kita terus membina dan memelihara jalinan kerjasama yang baik.

“Ia supaya kita dapat memberi penjelasan tepat kepada masyarakat dalam memahami isu semasa bagi menyelesaikan masalah harian mereka,” katanya ketika memberi ucapan pada majlis terbabit.

Turut hadir pada program itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail.

Seramai 35 orang pengamal media daripada pelbagai agensi media tempatan hadir pada majlis itu.

Untuk rekod, pada 2018 penulisan kepakaran akademia UPM dalam akhbar adalah 108 artikel, meningkat daripada 27 artikel berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun sama, UPM mendapat hampir 8,000 liputan berita dengan nilai iklan dalam media yang diberi secara percuma kepada UPM dianggarkan berjumlah RM67.1 juta.


Pengarang :