RENCANA

Usaha kembalikan kegemilangan Zoo Negara

Oleh Soon Li Wei dan Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Suatu ketika dahulu Zoo Negara yang dipenuhi pelbagai jenis haiwan mamalia, unggas, reptilia dan ikan menarik jutaan pengunjung dan memberi inspirasi serta pendidikan untuk rakyat Malaysia.

Pernah menampung kira-kira 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan, Zoo Negara yang ditubuhkan pada 1963 di atas tanah seluas 110 hektar di Hulu Kelang itu pernah, mencatatkan lebih satu juta pengunjung dalam setahun pada 1986.

Namun kini, Zoo Negara ibarat kehilangan magis, dengan pelbagai isu dan persepsi negatif yang melingkari zoo berkenaan, seperti keadaan zoo yang kurang menarik, haiwan yang kurus dan tidak aktif, menyebabkan pengunjung merasakan harga tiket RM45 seorang tidak berbaloi, sekaligus menjadikan jumlah pengunjung zoo menjunam dari tahun ke tahun.

Pelbagai usaha dilakukan pihak pentadbiran bagi mengembalikan zaman kegemilangannya, termasuk kemasukan dua ekor beruang gergasi Panda, Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan oleh kerajaan China pada tahun 2014 menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Amat Lana ketika ditanya mengenai kemerosotan jumlah pengungjung itu berkata, Zoo Negara sedang menaik taraf, dan menambah baik infrastruktur bagi menarik lebih ramai pengunjung, yang dilakukan secara berperingkat bagi mengembalikan kegemilangan zoo kebanggaan negara itu.

“Macam-macam yang kita rancangkan termasuk membina Rimba Reptila, Petting Zoo, Taman Tema Air dan paling utama adalah menukar konsep zoo ini kepada zoo terbuka, di mana kurungan haiwan digantikan kepada cermin khas.

“Namun semua ini memerlukan kos yang tinggi, dan perlu dilakukan secara berperingkat kerana ketika ini Zoo Negara menampung keperluan harian haiwan dan pekerja yang menelan belanja RM1.2 juta setiap bulan, melalui pelbagai sumber kewangan termasuk tajaan daripada pihak tertentu. Perbelanjaan ini merangkumi makanan haiwan, ubatan, penyelenggaraan dan gaji pekerja,” katanya kepada Bernama.

Rosly berkata Zoo Negara melakukan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan tiket masuk yang berharga RM45 bagi dewasa itu berbaloi.

“Jika dibandingkan, harga tiket yang kita tawarkan lebih murah berbanding ‘mini zoo’ yang terdapat di taman tema atau zoo persendirian, dengan jumlah haiwan yang dipamerkan di sini melebihi 4,000 ekor daripada 200 spesis,” katanya.

Beliau juga terpanggil untuk membetulkan persepsi orang ramai mengenai haiwan yang terdapat di Zoo Negara adalah kurus, suka tidur dan ruang pameran yang tidak menarik, yang akhirnya akan ‘membunuh’ minat orang untuk datang.

“Sebenarnya, setiap haiwan di sini mempunyai diet yang perlu dipatuhi, bagi memastikan mereka tidak obes dan akhirnya dihinggapi penyakit atau menjadi tidak aktif. Perkara ini sangat kita titikberatkan kerana mereka tinggal di dalam sangkar, tidak sebegitu bebas seperti mana di habitat asal,” katanya.

Katanya keadaan kesihatan fizikal haiwan yang baik ini juga secara tidak langsung sering menarik minat zoo luar terutama Zoo Singapura dan Thailand untuk melakukan pertukaran haiwan antara zoo, membuktikan Zoo Negara mempunyai tenaga pakar veterinar yang terbaik, dalam mengendalikan haiwan termasuklah diberi kepercayaan menjaga panda gergasi, yang menjadi simbol hubungan diplomatik antara Malaysia-China.

“Kita ada empat pakar haiwan yang mempunyai lima hingga puluhan tahun dalam bidang ini, dengan diketuai oleh Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli.

“Melalui kepakaran mereka jugalah, haiwan di sini sentiasa berada dalam keadaan terbaik, malahan sering dipanggil memberi khidmat ke zoo dan taman tema di seluruh Malaysia, apabila haiwan mereka mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Rosly turut menjelaskan, antara usaha lain bagi menarik lebih ramai pengunjung adalah menjalinkan kerjasama bersama beberapa agensi pelancongan, dengan menyenaraikan Zoo Negara sebagai destinasi kunjungan pelancong.

“Kita menggunakan khidmat luar dan agensi pelancongan yang dilantik ini, berjaya membawa masuk RM2.5 juta pada tahun lalu. Ini sesuatu yang positif bagi kami, terutama kumpulan negara pengunjung turut bertambah, termasuk dari Timur Tengah dan Eropah selain China,” katanya.

Rosly juga menjelaskan pihaknya akan merancakkan semula program-program yang sebelum ini diadakan, seperti program sukarelawan, berkhemah waktu malam dalam zoo, Fun Run, Zoo Walk serta sambutan hari lahir haiwan mengikut bulan.

-BERNAMA


Pengarang :