NASIONAL

Usahawan muslim harus contohi Ramly

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Usahawan muslim harus mencontohi Datuk Ramly Mokni, pengasas industri pembuatan produk makanan Kumpulan Ramly, yang bukan sahaja membina empayar perniagaan yang berjaya tetapi jugat menyumbang kepada Islam dan umatnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, sumbangan Ramly kepada industri halal di negara ini wajar diberi perhatian.

“Hari ini beliau bukan sahaja dianggap ahli perniagaan yang berjaya tetapi juga salah seorang daripada umat Islam yang menjadi ikonik di negara ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis sumbangan Aidilfitri yang dianjurkan Kumpulan Ramly di Masjid Saidina Hamzah di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mujahid, diiringi Ramly, menyampaikan sumbangan kepada hampir 500 anak yatim dan asnaf sekitar kawasan Parlimen Batu.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Ini adalah tahun ketujuh Kumpulan Ramly melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui pemberian bantuan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutama anak yatim dan golongan asnaf.

-BERNAMA


Pengarang :