NASIONAL

Usahawan PKS disaran guna media sosial kembang perniagaan

MELAKA, 30 MEI: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa menggunakan media sosial sebagai medium untuk mengembangkan perniagaan dan produk mereka yang lebih cepat, sekali gus dapat menembusi pasaran global.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, penggunaan media sosial bukan sahaja lebih pantas, malah dapat meningkatkan produktiviti mereka dan menjana pendapatan yang lebih tinggi.

“Kita dalam era e-Dagang dan usahawan PKS perlu melengkapkan ilmu dan mendekati Internet of Things (IoT) supaya mereka lebih berdaya saing seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

“Usahawan PKS terutamanya golongan belia perlu merebut peluang ini kerana mereka lebih dekat dengan media sosial,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar dan Penyampaian Bantuan Asnaf di Masjid Ar Rabbani, Tangga Batu, di sini malam tadi.

Beliau berkata perniagaan dalam talian yang menggunakan media sosial dapat memudahkan urus niaga bukan sahaja untuk pelanggan, malah kepada usahawan itu sendiri.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menggesa PKS mengambil peluang daripada inisiatif yang disediakan penyedia landasan media sosial seperti Facebook dalam memperluaskan perniagaan mereka.

—BERNAMA

 


Pengarang :