BERITA UTAMASELANGOR

Wajah baharu Musolla Al-Kauthar beri keselesaan pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memberi nafas baharu terhadap surau di salah satu asetnya, Kompleks PKNS Shah Alam dengan nama Musolla Al-Kauthar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi berkata, penambahbaikan itu bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung, sekali gus dapat meluangkan masa lebih lama di kompleks beli-belah berkenaan.

Katanya, selain memastikan Kompleks PKNS Shah Alam kekal relevan dan sentiasa dikunjungi orang ramai, inisiatif itu turut mendorong peniaga untuk meraih hasil jualan yang lumayan.

“Ini adalah renovasi kali kedua dibuat dalam tempoh masa lapan tahun dan musolla ini dinaik taraf daripada keadaan sebelum ini bersama luaran bangunan Kompleks PKNS, tandas dan kemudahan penghawa dingin.

“Penaiktarafan ini juga meliputi medan selera di tingkat empat dengan nama Makan@Bumbung yang bakal beroperasi selepas Raya Aidilfitri dari 10 pagi hingga 4 petang.

“Lebih menarik, kami akan membawakan aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal, ‘playground’ dan ‘rock climbing’ di tingkat empat,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Perasmian Musolla Al-Kauthar disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek dan Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah PREC, Siti Zubaidah Abd Jabar.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, musolla berkenaan adalah berkonsepkan industrial yang lebih praktikal, selesa, cantik dan kemas dengan ruang wuduk mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) serta mesra warga emas.

“Kemudahan menyiapkan bayi di tandas yang berdekatan dan ruang menunggu lebih banyak menjadi salah satu kelebihan buat pengunjung untuk datang ke sini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak RM4.2 juta diperuntukkan PREC bagi menambahbaik kemudahan di salah sebuah kompleks beli-belah yang menjadi mercu tanda di Shah Alam.

Hampir empat dekad kewujudannya, kompleks berkenaan sering menjadi tumpuan penduduk terutama menjelang Ramadan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa dan keperluan Hari Raya Aidilfitri sempena Festival Ramadan Selangor 2019 (FESTIRA’19).


Pengarang :