SELANGOR

Wajib qada zakat fitrah jika terlupa

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 MEI: Umat Islam wajib qada (ganti) zakat fitrah sekiranya mereka terlupa untuk menunaikannya sebelum ini.

Pengurus Perundingan Agihan Zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hamizul Abdul Hamid berkata, hukum itu berdasarkan kias kepada mengantikan solat mengikut hadis sahih Anas bin Malik.

Katanya, hadis itu menyebut, Nabi Muhammad SAW berkata apabila kamu terlupa kepada solat, maka perlu mengerjakannya pda waktu kamu terlupa.

“Ia sama seperti menunaikan zakat fitrah, jika teringat masih tidak menunaikannya pada hari raya ketujuh, terus tunaikannya segera.

“Sekiranya selepas itu kamu masih menangguhkannya maka akan berada dalam keadaan berdosa kerana zakat fitrah itu wajib, jadi kita perlu segera menggantikannya dan dibimbangi jika meninggal maka mati dalam keadaan berhutang kepada ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Hukum Terlupa Tunai Zakat Fitrah di laman facebook rasmi LZS.

Mengulas lanjut, Hamizul berkata, tidak sewajarnya umat Islam yang cukup syarat menunaikan zakat fitrah terlupa memandangkan Ramadan mempunyai 30 hari.

Katanya, selalunya mereka yang terlupa gara-gara menunggu untuk membuat bayaran zakat pada hari terakhir Ramadan ataupun pagi Syawal.

“Memang saya terdengar ada orang kata, jika nak qada zakat fitrah kena tunggu Ramadan akan datang, tetapi sebenarnya tidak perlu tunggu bulan Ramadan.

“Di LZS kita ada menyediakan perkhidmatan bayaran qada ini, hanya sebut ini qada saya, selesai sekejap sahaja,” katanya.

Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini, seramai 2,754 penolong amil fitrah telah dilantik di seluruh negeri berkenaan.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 cawangan LZS yang dibuka setiap hari termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat mengambil kesempatan menunaikan kewajipan berkenaan.

Waktu urusan cawangan LZS pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang.

Di samping itu, bayaran zakat fitrah juga boleh ditunaikan di beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang serta melalui 14 penolong amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 15 penolong amil Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di seluruh Selangor.

 


Pengarang :