Wan Azizah yakin Vivian Wong dapat sokongan daripada pengundi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Wan Azizah yakin Vivian Wong dapat sokongan daripada pengundi

SANDAKAN, 5 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin calon DAP, Vivian Wong Shir Yee bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan akan mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan parlimen itu.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Wong (Vivian), calon nombor tiga dalam PRK Sandakan akan menggantikan mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt).

“Insya Allah..kita akan mendapat sokongan untuk calon nombor tiga (Vivian Wong) yang akan menggantikan mendiang ayahnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan Tinjauan Mesra di Tamu Mingguan Bandar Sandakan di sini, hari ini.


Beliau yang diiringi Wong memulakan program seharinya di daerah ini sempena PRK Sandakan dengan berjumpa orang ramai pada program tinjauan mesra di Bandar Sandakan.

Mengenai tinjauan mesra itu, Wan Azizah berkata, pihaknya tahu 60 peratus orang ramai yang berkunjung ke tamu mingguan itu adalah pengundi tempatan (Sandakan) dan 40 peratus lagi merupakan pengunjung.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri menghadiri lima acara sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur pada petang ini.

Selepas program tinjauan mesra di Tamu Mingguan, Wan Azizah menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersama PKR dianjurkan PKR Libaran.

Ini disusuli program tinjauan mesra di Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim, Majlis Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal di Rumah Murah Sim-Sim dan menghadiri Ceramah di Gelanggang Futsal Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian Anggota Parlimen Sandakan yang juga Pengerusi DAP Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lepas.

Suruhanjaya PIlihan Raya menetapkan hari pengundian awal pada Selasa ini dan hari mengundi pada 11 Mei.

Seramai lima calon bertanding pada PRK Sandakan membabitkan calon dari DAP, Parti Bersatu Sabah dan tiga calon bebas.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next